BEBERAPA syarikat penerbangan menerima surat perintah tunjuk sebab susulan masih mengenakan caj tersembunyi dalam harga tiket penerbangan, kata Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) kepada The Malaysian Insight.
Suruhanjaya itu berkata tindakan yang sewajarnya akan diambil terhadap syarikat-syarikat penerbangan itu sebaik saja ia menilai surat bertulis dari syarikat penerbangan tersebut.
Mavcom bagaimanapun tidak mendedahkan identiti syarikat berkenaan.
“Suruhanjaya itu mengeluarkan surat perintah tunjuk sebab kepada syarikat penerbangan yang tidak mematuhi MACPC (Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016) dan akan menilai surat bertulis yang dikemukakan syarikat penerbangan.
“Suruhanjaya seterusnya akan menentukan sama ada syarikat penerbangan terlibat melanggar peruntukan MACPC tersebut,” kata Mavcom kepada The Malaysian Insight.
Di bawah peraturan baharu ini, dengan penambahbaikan MACPC 2016, syarikat penerbangan dikehendaki mendedahkan harga akhir tambang udara pada iklan dan sebelum pengguna membeli tiket penerbangan.
Harga akhir tiket mesti memasukkan tambang asas dan semua bayaran yang perlu dibayar kepada syarikat penerbangan, cukai kerajaan, yuran dan caj yang dikenakan di bawah mana-mana undang-undang bertulis, serta surcaj bahan api.
Mavcom berkata ia akan dapat memastikan pengguna menyedari harga akhir tiket sebelum membelinya.
Mengenai penalti yang boleh dikenakan ke atas syarikat penerbangan yang didapati melanggar peraturan baharu tersebut, Mavcom berkata keputusan akan dibuat apabila meneliti penyerahan hujah bertulis tersebut.
“Keputusan oleh suruhanjaya akan bergantung kepada penilaian terhadap pelanggaran yang dikatakan itu.”
Walaupun Mavcom tidak mendedahkan syarikat penerbangan yang menerima surat perintah tunjuk sebab daripada pihaknya, syarikat penerbangan kos rendah AirAsia dipercayai salah satu syarikat yang menerimanya.
AirAsia sebelum ini berkata ia akan membatalkan yuran pemprosesan untuk pelanggan yang membayar sama ada melalui perbankan dalam talian atau kad kredit dari Oktober dan seterusnya.
Yuran pemprosesan AirAsia bermula pada harga RM4 untuk bayaran debit langsung dan boleh meningkat sehingga RM16 dengan bayaran menggunakan perkhidmatan UnionPay.
Tidak ada bayaran pemprosesan melibatkan pelanggan yang memilih membuat pembayaran menggunakan aplikasi e-wallet BigPay milik AirAsia.
The Malaysian Insight masih menunggu jawapan balas daripada syarikat penerbangan tambang murah tersebut. – 13 Ogos, 2019.
Komen