PIHAK pengurusan Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong hari ini menangguhkan baki penerbangan berikutan protes kumpulan pro-demokrasi di terminal lapangan terbangnya.
Semua penerbangan masuk dan keluar dari lapangan terbang itu ditangguhkan ekoran ribuan penunjuk perasaan memenuhi ruang dalam lapangan terbang.
Menurut laporan agensi berita Al-Jazeera, pihak pengurusan lapangan terbang turut menasihatkan para penumpang yang dijadualkan melakukan penerbangan diminta pulang ke rumah.
Dalam satu kenyataan hari ini, pihak pengurusan mengatakan operasi lapangan terbang tersebut tergendala, sementara penerbangan penumpang yang belum mendaftar masuk dibatalkan.
“Selain daripada penerbangan berlepas yang telah selesai proses daftar masuk dan penerbangan ketibaan yang sudah menuju ke Hong Kong, semua penerbangan lain telah dibatalkan untuk hari ini.
“Lapangan terbang antarabangsa Hong Kong telah tergendala berikutan perhimpunan awam di dalam kawasan lapangan terbang.
“Orang ramai disarankan untuk tidak datang ke kawasan lapangan terbang hari ini,” kata kenyataan tersebut.
Hong Kong menyaksikan krisis politik yang berlarutan lebih dua bulan dengan menyaksikan ribuan rakyatnya berhimpun demi membantah Beijing.
Protes yang dicetuskan oleh pembangkang terhadap rancangan melaksanakan undang-undang ekstradisi, telah berubah menjadi gerakan yang lebih luas untuk pembaharuan demokratik dan menggesa semua undang-undang yang menyekat kebebasan dimansuhkan.
Bantahan besar-besaran itu merupakan ancaman terbesar kepada pengaruh Beijing di selatan China yang mempunyai kedaulatan semi-autonomi sejak Britain menyerahkan pulau itu pada tahun 1997 kepada kerajaan China. – 12 Ogos, 2019.
Komen