Polis UK, Perancis bantu cari Nora


Alfian Z.M. Tahir

Polis UK, Perancis dan Ireland sudah berada di negara ini sejak minggu lepas untuk membantu misi mencari dan menyelamat Nora Anne Quoirin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Ogos, 2019.

PEGAWAI polis United Kingdom, Perancis dan Ireland sudah berada di Malaysia untuk membantu misi mencari remaja warga Britain Nora Anne Quoirin yang hilang lebih seminggu lalu.

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan Che Zakaria Othman memberitahu wartawan yang pegawai polis asing itu sudah berada di negara ini sejak minggu lepas lagi.

“Pegawai polis dari Ireland, Perancis dan London sudah berada di sini sejak minggu lepas. Mereka membantu siasatan.

“Bagaimanapun saya tak boleh dedahkan bentuk sokongan yang mereka berikan,” katanya.

Ditanya sekiranya polis juga meminta bantuan perubatan tradisional dan agama, Che Zakaria enggan memberikan ulasan.

Bagaimanapun, beliau berkata pasukan mencari dan menyelamat hari ini mendaki Gunung Berembun hari dalam usaha meluaskan kawasan pencarian Quoirin.

“Kami pergi ke gunung kerana kami sudah mencari di ‘enam map square’ di Dusun dan kerana itu jumlah penyelamat meningkat kerana kawasan itu lebih luas, 12 km,” katanya.

Remaja itu hilang minggu lepas dari vila di Dusun Pantai Hill yang disewa keluarganya di Nilai, Negeri Sembilan.

Beliau kali terakhir dilihat di bilik tidurnya yang dikongsi bersama dua adik beradiknya pada malam Sabtu.

Polis sudah mengerahkan ratusan anggota penyelamat termasuk khidmat anjing pengesan dan dron, tetapi kelibat Quoirin masih belum ditemui.

Polis juga mengadakan operasi mencari di sekurang-kurangnya 30 buah rumah berhampiran Dusun untuk mencari remaja itu.

Hari ini, polis turut menjemput pengamal media untuk menyertai misi mencari dan menyelamat.

Talian operasi misi itu juga dilancarkan, mereka yang mempunyai maklumat kes itu diminta tampil menghubungi polis melalui talian 011-12285058. – 12 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen