AKTA Pembangunan Petroleum (PDA) merupakan undang-undang yang tidak sah kerana Parlimen dilarang untuk mengenakan levi terhadap royalti bagi sumber asli Sabah dan Sarawak, kata aktivis Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Zainnal Ajamain.
Zainnal, yang juga ahli jawatankuasa pemandu persekutuan bagi kajian semula MA63, berkata klausa levi itu berada di bawah Seksyen 4 dalam PDA, yang secara spesifik menyatakan bahawa 5% pembayaran tunai dikenakan sebagai royalti terhadap kedua-dua negeri tersebut.
Berikutan wujud klausa tersebut, Zainnal mengatakan ia secara langsung telah melanggar Artikel 112c (4) (b) Perlembagaan Persekutuan, yang melarang Parlimen mengenakan levi terhadap royalti bagi sebarang hasil sumber asli Sabah dan Sarawak.
“Jadi, akta itu dianggap menyalahi undang-undang dan tidak sah. Setakat yang dapat kita katakan, ahli Parlimen yang meluluskan akta itu mungkin terlepas pandang terhadap apa yang terkandung dalam perlembagaan,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Pada waktu ini, Sabah dan Sarawak mendapat royalti sebanyak 5% secara tunai dari hasil sumber aslinya.
Manakala Putrajaya pula menerima royalti 3% daripada Petronas. Sementara bagi tambahan pendapatan, kerajaan persekutuan juga turut mengenakan cukai ke atas Petronas di samping memperolehi dividen tahunan berikutan perdana menteri dilantik sebagai pemegang kepentingan dalam syarikat minyak kebangsaan tersebut.
Zainnal berkata PDA didraf oleh bekas peguam negara Salleh Abas untuk pengerusi Petronas ketika itu, Tengku Razaleigh Hamzah dengan tujuan menjadikan sumber minyak di Malaysia sebagai milik nasional, yang katanya tidak masuk akal.
Ini kerana sumber mineral yang dimiliki kedua-dua negeri itu tidak boleh dirunding.
“Kerajaan persekutuan boleh memilih mana-mana GLC atau berunding dengan mana-mana firma minyak untuk tujuan nasionalisasi syarikat minyak, tetapi ia tidak boleh berunding dengan pihak negeri yang memiliki sumber mineral tersebut,” katanya.
Selain itu, beliau berkata dakwaan bahawa kerajaan persekutuan mempunyai bidang kuasa melebihi 3 batu nautika dari pantai Sabah rentetan penetapan undang-undang darurat tahun 1969 sudah tidak lagi relevan ketika ini.
Beliau berkata kerajaan persekutuan telah kehilangan tuntutan pemilikannya di perairan Sabah dan Sarawak apabila ia membatalkan undang-undang darurat pada 23 November 2011 bagi membuka jalan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Zainnal berkata pembatalan undang-undang darurat tersebut mengembalikan semula Akta Pelantar Benua yang menyatakan lautan dan tanah dimiliki kedua-dua negeri itu semula.
Ketika ditanya sama adakah isu keselamatan berada di bawah bidang kuasa persekutuan, Zainnal berkata persoalan tersebut tidak berbangkit kerana pertahanan, kesihatan dan pendidikan adalah kewajipan kerajaan persekutuan terhadap Sabah dan Sarawak ketika membentuk Malaysia pada tahun 1963.
Beliau berkata kewajipan dan pembiayaan yang datang sekaligus dengannya sepatutnya tidak disalah fahami dengan hak pendapatan tahunan bagi negeri itu dan sekiranya Putrajaya menegaskan bahawa ia harus dianggap sedemikian, Sabah harus menjadi sebuah negeri yang bebas dari kerajaan pusat.
“Mengapa? Kerana kita bayar untuk pertahanan, kesihatan dan pendidikan menggunakan wang negeri sendiri,” katanya.
Zainnal turut berkata satu lagi amalan yang menyalahi undang-undang yang dilakukan oleh kerajaan persekutuan pada masa ini ialah pengumpulan yuran oleh Majlis Keselamatan Negara di Pulau Sipadan, yang merupakan sebuah kawasan peranginan.
Beliau berkata perkara tersebut tidak selari dengan perlembagaan kerana isu keselamatan merupakan kewajipan Putrajaya. – 12 Ogos, 2019.
Komen