RIBUT besar yang membadai kawasan timur pesisir China dan memaksa lebih sejuta orang dipindahkan sudah meragut nyawa 44 orang, lapor media negara itu hari ini.
Rakaman disiarkan saluran CCTV menunjukkan jalan dilimpahi air lumpur, kenderaan tenggelam, runtuhan dan pokok tumbang kerana angin kencang dan hujan lebat disebabkan Taufan Lekima membadai kawasan itu.
Sekurang-kurangnya 16 orang masih hilang ketika ribut sedang bergerak menghampiri Beijing. Agensi berita Xinhua berkata jumlah korban naik 39 orang di daerah Zhejiang, di mana Lekima membadai semalam, membawa angin sekencang 190 kilometer sejam dan menyebabkan ombak setinggi beberapa meter menghempas pantai.
Manakala, 18 orang lagi maut dalam kejadian tanah runtuh disebabkan hujan lebat di Wenzhou, lapor media negara itu lagi.
Lebih sejuta orang sudah dipindahkan kerana taufan itu, lapor Xinhua.
Lekima membadai Shandong semalam, dan Jabatan Pengurusan Kecemasan Setempat melaporkan lima maut dan tujuh hilang, serta pemindahan lebih 180,000 orang dan lebih 600 buah rumah rosak teruk.
Bencana alam itu menyebabkan kerugian ekonomi lebih 24.22 bilion yuan (AS$3.4 bilion) di Zhejiang sahaja, lapor pihak berkuasa.
Pekerja menyelamat menggunakan bot dan tali untuk membawa penduduk ke kawasan selamat.
Lebih 3,200 penerbangan dibatalkan kerana taufan itu, dan media melaporkan beberapa bandar utama termasuk Beijing dan Shanghai menutup lapangan terbang mereka.
Di Shanghai, lebih 900 kawasan pelancongan termasuk Disneyland ditutup kerana bencana itu, dijangka dibuka kembali hari ini atau esok. – AFP, 12 Ogos, 2019.
Komen