SAHAM syarikat penerbangan Hong Kong, Cathay Pacific menjunam lebih empat peratus hari ini, selepas Beijing mengharamkan kakitangan penerbangan yang menyokong protes Hong Kong daripada penerbangan ke negara itu.
Saham Cathay jatuh 4.37% kepada HK$9.85 pada waktu rehat di Hong Kong, dan syarikat induknya Swire Pacific Ltd menjunam 5.26% kepada HK$77.50.
Penurunan itu berlaku ketika syarikat penerbangan itu terpalit dengan protes pro demokrasi yang melanda Hong Kong sejak lebih dua bulan lalu.
Pada Jumaat, penyelia penerbangan Beijing mengarahkan Cathay menghantar senarai nama kakitangan bekerja dalam penerbangan ke tanah besar melalui ruang udaranya.
Ia memberi amaran mana-mana kakitangan terlibat dalam “protes haram” akan diharamkan menaiki penerbangan itu.
CEO Cathay Rupert Hogg dalam mesejnya kepada kakitangan pada Sabtu berkata syarikat perlu mematuhi peraturan baharu ditetapkan Pentadbiran Penerbangan Awam China (CAAC) itu.
“Operasi Kumpulan Cathay Pacific di tanah besar China adalah penting untuk perniagaan kita. Selain keluar masuk tanah besar China, sejumlah besar laluan penerbangan ke Eropah dan AS juga melalui ruang udara China,” tulis Hogg.
“Kerana itu kita secara undang-undang perlu mematuhi peraturan CAAC dan dalam kes melibatkan sebarang notis dikeluarkan mana-mana pihak penyelia penerbangan yang berkuasa ke atas kita, kita perlu dan akan patuh.”
Cathay dilaporkan jadi sasaran kemarahan Beijing selepas kakitangannya menyertai protes dan media melaporkan salah seorang juruterbangnya didakwa kerana merusuh.
Pengerusi Cathay John Slosar mempertahankan hak kebebasan kakitangannya, berkata “kami tidak boleh memberitahu mereka pandangan tentang sesuatu perkara.”
Tetapi, Hogg memberi amaran kepada kakitangannya untuk menjaga tingkah laku.
Cathay sudah menggantung tugas juruterbang yang dituduh kerana terlibat dalam protes Hong Kong.
Dan pada Sabtu dilaporkan memecat dua kakitangan lapangan terbang, tanpa mendedahkan sebabnya. Media tempatan melaporkan mereka dituduh membocorkan butiran perjalanan pasukan bola sepak polis Hong Kong yang dalam perjalanan ke tanah besar. – AFP, 12 Ogos, 2019.
Komen