Tentera Syria mula takluk Idlib


Idlib jadi kawasan rebutan tentera kerajaan Syria dan pemberontak. – Gambar EPA, 12 Ogos, 2019.

TENTERA kerajaan Syria berjaya merampas sebuah bandar di pinggir Idlib semalam, kata pemantau, kejayaan darat pertama mereka di daerah itu sejak operasi menentang pemberontak semakin hebat sejak lebih tiga bulan lalu.

Kawasan barat laut Syria itu yang mempunyai penduduk seramai tiga juta orang, jadi medan perang antara Syria dan Rusia sejak hujung April lalu.

Pertempuran terbaru yang menyebabkan lebih 130 pejuang terbunuh berlaku pada hujung minggu lepas di kawasan antara Idlib dan Hama, kata pemantau perang dan menyebabkan berpuluh anggota tentera kerajaan dan pemberontak terbunuh.

“Tentera kerajaan merampas bandar Al-Habeet, di selatan Idlib, pada awal pagi,” kata Rami Abdel Rahman, ketua kumpulan Pemantau Syria untuk Hak Asasi Manusia.

Idlib tidak berada dalam kawalan kerajaan Presiden Bashar al-Assad sejak 2015 dan merupakan kubu kuat terakhir pemberontak dan sekutu mereka.

Kumpulan pemantau juga melaporkan dua orang awam terbunuh, termasuk seorang kanak-kanak dalam serangan udara tentera kerajaan dan Rusia semalam di selatan Idlib.

Penaklukan Al-Habeet, salah sebuah lokasi strategik untuk tentera kerajaan berlaku selepas pertempuran hebat, kata pemantau.

Menurut kumpulan berpangkalan di Britain itu, 70 tentera terbunuh semalam, 32 daripadanya adalah tentera kerajaan.

Baki 38 orang lagi adalah tentera Hayat Tahrir al-Sham, kumpulan diketuai bekas sekutu Al-Qaeda dan pemberontak.

Bandar itu yang hampir legang tiada penduduk, dilihat merapatkan tentera kerajaan dengan Khan Sheikhun, salah sebuah bandar utama di Idlib dan sasaran sejak konflik lapan tahun itu.

Puluhan ribuan orang menjadi pelarian sejak beberapa minggu lalu kerana konflik itu dan badan kemanusiaan memberikan amaran yang serangan di Idlib boleh memburukkan konflik itu.

Pertempuran itu melanggar perjanjian dicapai antara dua orang tengah pihak berkonflik- Rusia dan Turki- tetapi tidak pernah terlaksana.

Rusia adalah penyokong utama Damsyik, sementara Turki menyokong sebilangan pemberontak di sempadannya. – AFP, 12 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen