Wartawan tulang belakang kerja sukarela bantu Rohingya


Nabihah Hamid

Antara anak pelarian Rohingya di Sekolah Pelarian Al-Ikhsan, Selayang, selangor. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 12 Ogos, 2019.

HAMPIR tiga dekad menjadi wartawan, Abdullah Abdul Hamid giat melakukan aktiviti kemanusiaan di negara bergolak terutamanya di Rakhine, Myammar dan dua kem pelarian di Bangladesh sejak 2012.

Persatuan Simpati Masyarakat atau Sympathy yang beliau pengerusikan adalah antara badan yang aktif menyumbang di kem pelarian Balukhali dan Kutuphalong yang menempatkan ratusan ribu pelarian etnik Rohingya.

Bantuan diberikan berbentuk makanan, rawatan kesihatan serta pendidikan.

Sympathy membina dua buah sekolah yang memberi pendidikan 30 kanak-kanak berusia 6 hingga 11 tahun.

“Kita melihat mereka tinggal di kem, apa sahaja keperluan mereka ambil. Mereka tinggalkan segala-galanya di tanah air sendiri. Bantuan makanan, kayu apa sangat diperlukan.

“Saya melihat keperluan kesihatan, pendidikan dan ibadatnya. Dari situ NGO kami buat sekolah kecil yang diperbuat daripada buluh,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Di Malaysia, Abdullah turut memberikan bantuan pendidikan kepada Madrasah Hidayah Rohingya, Kuala Berang, Terengganu.

Abdullah Abdul Hamid giat melakukan aktiviti kemanusiaan di negara bergolak terutamanya di Rakhine, Myammar dan dua kem pelarian di Bangladesh sejak 2012. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 12 Ogos, 2019.

Baginya, pendidikan amat penting buat kanak-kanak Rohingya kerana ia adalah kunci masa depan yang lebih cerah.

“Dengan pendidikan, akan lahirlah kanak-kanak Rohingya yang boleh bertarung dengan masa depan.

Lebih sejuta Rohingya pada masa ini tinggal di kem pelarian di Bangladesh, sementara Malaysia menerima kira-kira 200,000.

Putrajaya juga secara konsisten mengkritik kerajaan Myanmar atas layanan mereka terhadap masyarakat itu.

Ia juga mempunyai beberapa program kemanusiaan di Cox’s Bazaar dan di kem pelarian di Rakhine.

Kerajaan mempunyai pelan strategik bagi kanak-kanak pelarian Rohingya mendapatkan peluang pendidikan lebih baik di Malaysia.

Menteri Luar Saifudin Abdullah berkata rancangan itu juga akan termasuk meneroka pilihan membolehkan Rohingya bekerja secara sah di Malaysia. – 12 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen