BTS bercuti panjang


BTS kumpulan k-pop pertama meraih populariti dan tumpuan global akan bercuti panjang secara rasmi sejak muncul enam tahun lepas. – Gambar EPA, 12 Ogos, 2019.

BINTANG k-pop BTS akan bercuti panjang daripada aktiviti muzik, kata agensi mereka hari ini, selepas kumpulan itu menjuarai carta muzik di AS dan Britain awal tahun ini.

Tetapi, cuti itu dijangka hanya beberapa minggu, dengan kumpulan itu dijangka membuat persembahan kontroversi di Arab Saudi pada Oktober.

Industri k-pop dikenali dengan persaingan sengit dan jam kerja yang panjang termasuklah konsert, sidang media dan latihan nyanyian dan tarian ketika bintang tidak membuat persembahan.

BTS akan “bercuti panjang secara rasmi sejak muncul” enam tahun lalu, kata pengurusan Big Hit Entertainment, menambah yang masanya sudah tiba untuk “menyegarkan dan berehat bagi pemuzik dan pencipta itu”.

Ia juga akan menjadi masa untuk mereka “menikmati kehidupan harian lelaki 20-an” kata agensi itu dalam kenyataan dikeluarkan tengah malam tadi.

“Jika anda bertembung ahli BTS di tempat tak terjangka, kami meminta peminat bertimbang rasa membenarkan ahli menikmati masa rehat mereka.”

BTS meraih tumpuan dunia sejak beberapa tahun lepas, menjadi kumpulan k-pop pertama mengungguli carta muzik di AS dan Britain dan konsert habis tiket di Los Angeles, Paris dan Stadium Wembley di London.

Kumpulan dengan imej rambut berwarna, bertindik dan memakai lipstik dianggotai oleh lelaki berusia 20-an meraih minat generasi muda dengan imej kecairan gender mereka.

Mereka juga mengekalkan hubungan baik dengan peminta, sering memuat naik media sosial, video dan tuit dalam Bahasa Korea dan Inggeris.

Kenyataan itu dikeluarkan tidak menyebut berapa lama mereka akan berehat tetapi kumpulan itu dijadualkan mengadakan persembahan di Riyadh, Arab Saudi pada 1 Oktober nanti.

Populariti kumpulan itu mendatangkan untung besar kepada Big Hit Entertainment, yang mampu bekerjasama dengan pembuat anak patung Barbie untuk koleksi patung BTS.

Bintang Korea Selatan seperti Psy- yang pada 2012 memecah rekod tontotan video YouTube menerusi Gangnam Style- sudah lama memecah pasaran Barat, tetapi BTS adalah kumpulan pertama yang meraih tumpuan dan populariti global. – AFP, 12 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen