KAMPUNG baru Cina biasanya digambarkan sebagai perkampungan bagi warga emas, ditinggalkan golongan belia kerana isu kebersihan dan kekurangan infrastruktur.
Namun, kerajaan Pakatan Harapan (PH) kini melihat kampung-kampung baru Cina yang dihimpit arus pemodenan itu mempunyai potensi tersembunyi.
Pegawai Tugas-tugas Khas Kementerian Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Chua Yee Ling berkata beliau cukup potimis tentang masa depan kampung-kampung baru ini.
Menurutnya, kampung baru Cina dihuni oleh majoriti warga emas kerana trend belia berhijrah ke bandar dan ini bukanlah isu lama.
“Tetapi saya melihatnya secara positif, ia boleh dilihat sebagai peluang. Apabila orang rasa duduk di bandar semakin sesak, ramai yang mahu duduk di kawasan kampung,” kata Chua.
Di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) dahulu, kampung baru Cina diletakkan di bawah tanggungjawab menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Bagaimanapun, di bawah kerajaan PH kampung baru Cina diletakkan di bawah tanggungjawab KPKT dengan matlamat untuk diselia dengan lebih baik dan berkesan.
Katanya, jika pentabdiran BN sebelum ini hanya memberi tumpuan kepada pembangunan bandar, kerajaan kini mahu membangunkan kawasan pinggir bandar sebagai perkampungan baru.
Menurut Chua, lokasi kini bukan menjadi faktor utama asalkan kawasan tersebut mempunyai capaian internet yang laju.
“Secara mudahnya, kerajaan tidak akan hanya melabur di bandar tetapi kita juga akan berbincang bagaimana mahu membangunkan kawasan pinggir bandar seperti kampung baru. Ini memberi harapan kepada kampun-kampung baru,” katanya. – 12 Ogos, 2019.
Komen