TERESSA Lim Yeng Fah telah melalui pelbagai cabaran sejak menggalas tugas sebagai ketua Kampung Chempaka Selangor, sebuah kampung baru Cina, sejak Julai 2012.
Walaupun masyarakat sering beranggapan kepimpinan kaum lelaki lebih baik berbanding wanita, Lim berjaya mengetuai kampung yang menempatkan lebih 1,000 keluarga dan membuktikan kemampuannya setanding dengan kaum lelaki.
Kepada The Malaysian Insight, wanita itu menceritakan kepayahan yang dilaluinya ketika mula dilantik sebagai ketua kampung.
“Sejak dari mula lagi mereka ragu-ragu terhadap kemampuan saya, mungkin sebab saya perempuan. Malah saya pernah terdengar ada yang bertaruh saya hanya mampu bertahan selama tiga bulan,” kata Lim.
Namun taruhan itu hanya tinggal taruhan, beliau kini sudah tujuh tahun beliau menjadi ketua kampung.
“Kena banyak berkorban, tak boleh bertindak kepada semua isu berbangkit, buat apa yang paling perlu. Kalau kamu fikir susatu perkara itu betul, buat saja. Jangan peduli apa orang akan kata, maka kamu akan berjaya,” katanya.
Kampung Chempaka Selangor terletak di kawasan parlimen Petaling Jaya Utara yang dimenangi oleh Tony Pua pada pilihan raya umum 2018 selepas mengalahkan penyandang kerusi itu, Chew Mei Fun dari MCA.
Lim berkata selepas dilantik sebagai ketua kampung beliau tidak henti-henti menerima panggilan dari penduduk.
“Kalau ada kemalangan kecil di kampung pun ahli MCA akan telefon minta saya datang tengok,” katanya, memberikan contoh.
Tidak kiralah jika kemalangan berlaku di waktu tengah malam, Lim akan terus datang ke tempat kejadian sebelum membuat laporan polis.
Tetapi apabila sampai di lokasi kemalangan, penduduk akan bertanya mengapa beliau tidak berbuat apa-apa.
“Cuma kemalangan kecil akibat memandu sambil mabuk, tiada sesiapa yang cedera. Saya bukan polis atau doktor, tetapi dipanggil ke tempat kejadian, jadi saya tak boleh buat apa-apa.”
Lim sentiasa mengingatkan dirinya supaya tidak mengambil hati atas setiap kritikan yang diterima kerana ada banyak perkara yang lebih penting perlu diutamakan.
“Ada orang akan cakap di belakang kerana mereka cemburu. Jangan pedulikan mereka, cuma lakukan yang terbaik,” katanya.
Selain itu, Lim juga terpaksa berdepan cabaran kerana tiada latar belakang pentadbiran. Beliau juga tidak pernah terlibat dalam sebarang aktiviti masyarakat sebelum menjadi ketua kampung, jadi semuanya terpaksa dimulakan dari kosong. – 12 Ogos, 2019.
Komen