Israel usir pekerja asing Filipina dan anak


Kebanyakan 28,000 pendatang Filipina datang ke Israel untuk bekerja sebagai pekerja domestik. – Gambar AFP, 12 Ogos, 2019.

SEORANG pekerja asing warga Filipina dan anak lelakinya diusir dari Israel selepas mahkamah menolak rayuannya, kata sebuah NGO yang memperjuangkan hak anak-anak pendatang asing.

Rosemarie Perez dan anaknya, Rohan 13, yang lahir di Israel ditahan pegawai imigresen Selasa lalu kerana tinggal melebihi tempoh visa.

Kedua-duanya diiringi pegawai di Lapangan Terbang Antarabangsa Ben Gurion dekat Tel Aviv untuk menaiki pesawat El Al ke Hong Kong sebelum ke Manila, Beth Franco dari United Children of Israel (UCI). 

Menurut Franco, Rohan tidak pernah keluar dari Israel.

Mahkamah semalam menolak rayuan Perez untuk terus tinggal di Israel, kata jurucakap imigresen, Sabine Haddad.

“Dia tinggal secara haram di sini selama 10 tahun,” kata Haddad.

Menurut Haddad, bapa Rohan adalah rakyat Turki yang meninggalkan Israel beberapa tahun lalu.

UCI mengutuk keputusan mahkamah itu yang disifatkan kejam kerana mengusir kanak-kanak seperti Rohan ke negara yang tidak pernah dijejaki dan tidak diketahui bahasanya.

“Ronan tidak pernah ke Filipina , tidak tahu bertutur bahasa ibunda negara itu. Dia hanya tahu bertutur bahasa Hebrew.

“Padanya Israel adalah negaranya,” kata Franco sambil menambah kanak-kanak itu bercita-cita mahu berkhidmat dalam pasukan tentera Israel.

Minggu lepas pendatang asing, anak mereka dan penduduk Israel mengadakan bantahan di Tel Aviv terhadap dasar mengusir anak-anak pendatang.

Kebanyakan 28,000 pendatang Filipina datang ke Israel untuk bekerja sebagai pekerja domestik. – AFP, 12 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen