PERDANA Menteri Pakistan Imran Khan mempersoalkan komuniti antarabangsa yang hanya berdiam diri ketika nasionalisme Hindu India merebak ke kawasan majoriti Muslim, Kashmir, mengatakan tindakan itu sama seperti menyemarakan pemikiran Hitler.
Kemarahan Imran itu diluahkan di Twitter ketika ketegangan antara kedua-dua negara di rantau Himalaya itu semakin parah selepas New Delhi minggu lepas membatalkan autonomi yang dinikmati wilayah yang berada di bawah jajahan India kembali dikawal penuh kerajaan pusat.
Kashmir terputus hubungan sejak langkah itu diambil India. Perintah berkurung, talian telefon dan internet turut dipotong. Tindakan itu kononnya untuk mengelakkan kekacauan.
Jumlah besar tentera meronda di jalan raya di pusat tumpuan penduduk, dan pasukan keselamatan menggunakan gas pemedih mata pada hari Jumaat untuk memecahkan demonstrasi melibatkan sekurang-kurangnya 8,000 orang bagi membantah langkah kerajaan.
Ketegangan juga turut menebal di rantau Ladakh, di mana seorang aktivis tempatan mengatakan kepada AFP bahawa berpuluh-puluh penunjuk perasaan mengambil bahagian dalam perhimpunan pada Khamis, Jumaat dan Sabtu, dengan sekurang-kurangnya 10 orang cedera ketika mereka cuba dileraikan pasukan keselamatan menggunakan gas pemedih mata dan cota.
Ketua Polis Negara Dilbagh Singh mengatakan pada Sabtu bahwa “tidak ada satu kejadian keganasan dilaporkan” di Kashmir, namun hakikatnya kenyataan itu bertentangan dengan sumber-sumber bebas.
Kashmir berpecah kepada dua bahagian, India dan Pakistan sejak kemerdekaannya pada tahun 1947.– AFP, 12 Ogos, 2019.
Komen