Invest Penang yakin pulau tiruan mampu tarik industri bernilai tinggi


Ragananthini Vethasalam

Pulau Pinang menyasarkan 'industri bernilai tinggi' di salah satu dari tiga pulau buatan di bawah Penambakan Pulau Pinang Selatan (PSR). – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Ogos, 2019.

PULAU Pinang menyasarkan “industri bernilai tinggi” di salah satu dari tiga pulau buatan di bawah Penambakan Pulau Pinang Selatan (PSR), kata Pengarah Invest Penang Lee Kah Choon kepada The Malaysian Insight.

Hanya satu daripada tiga pulau tersebut dicadangkan untuk kegunaan industri.

“Tidak ada industri tertentu yang disasarkan tetapi ia mesti bersifat mewah kos tanah akan jadi lebih tinggi,” katanya kepada The Malaysian Insight ketika ditanya mengenai jenis industri yang dicari untuk dimajukan di pulau tersebut.

“Semua keputusan mengenai pelaburan ke pulau itu akan dibuat semata-mata untuk daya maju perniagaan sahaja,” tambah Lee yang juga pengarah Penang Development Corp.

Beliau berkata cabang pelaburan negeri itu tidak pernah menghentikan usaha promosi untuk menarik pelaburan.

“Usaha promosi tidak pernah berhenti tetapi di mana untuk mencari pelabur akan diputuskan sepenuhnya dengan ambil kita pertimbangan perniagaan,” katanya.

Pengarah Invest Penang Lee Kah berkata hanya satu dari tiga pulau tersebut dicadangkan untuk kegunaan industri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Ogos, 2019.

Dalam temu bual dengan The Malaysian Insight, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Ong Kian Ming berkata sektor elektrik dan elektronik (E&E) adalah salah satu industri utama yang disasarkan di pulau itu nanti.

Ong menambah bahawa projek penambakan tanah secara besar-besaran adalah perlu untuk menangani isu kekurangan tanah perindustrian di Lembah Silikon Timur itu.

Dua tanah perindustrian utama di Pulau Pinang - Kawasan Perdagangan Bebas Bayan Lepas dan Estet Perindustrian Prai telah beroperasi selama beberapa dekad.

Berikutan tanah di Bayan Lepas sudah berkurangan, sementara kawasan ketiga, Taman Perindustrian Batu Kawan, kini sudah berkembang pesat.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow baru-baru ini berkata terdapat kira-kira 1,160 hektar tanah kosong di Batu Kawan.

Bagaimanapun, beliau mengatakan bahawa perbincangan berterusan masih dilakukan dengan pelabur untuk membangunkan sebahagian besar tanah itu.

Taman-taman perindustrian ini adalah rumah kepada syarikat-syarikat gergasi seperti AMD, Agilent Technologies, Teknologi Intel, Renesas Electronics, Bosch dan Osram.

Pulau Pinang mencadangkan untuk mewujudkan tiga pulau memiliki ukuran sejumlah 1,821hektar di selatan Pulau Pinang melalui penambakan tanah secara besar-besaran.

Tanah yang ditebus akan dijual untuk membiayai Pelan Induk Pengangkutan Awam Pulau Pinang, projek infrastruktur bernilai RM46 bilion yang bertujuan mengurangkan kesesakan lalu lintas di pulau itu dengan membina terowong bawah laut menghubungkan tanah besar, lebuh raya, sistem transit kereta api ringan dan monorel. – 12 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen