TEMBAKAN di sebuah masjid berhampiran Oslo dianggap sebagai “cubaan tindakan ganas,” kata polis Norway pada hari Ahad.
Keputusan itu ekoran siasatan yang menunjukkan suspek yang berpegang dengan pandangan berhaluan kanan yang melampau, dan anti-imigran.
“Kami menganggap ia sebagai cubaan melakukan tindakan ganas,” kata Ketua Operasi Polis Rune Skjold dalam satu sidang akhbar.
Skjold berkata siasatan itu menunjukkan bahawa lelaki itu kelihatan memegang pandangan “haluan kanan yang melampau” dan “anti-imigran”.
Suspek memasuki Pusat Islam al-Noor dengan membawa senjata api dan pelbagai senjata lain di samping melepaskan tembakan sebelum dia dijatuhkan oleh seorang lelaki yang mengalami “kecederaan ringan” dalam insiden itu.
Hanya tiga orang pengunjung berada di dalam masjid ketika waktu serangan tersebut, dan polis berkata mereka menemui dua senjata api dari tempat kejadian tetapi tidak menyatakan jenisnya.
Norway pernah menyaksikan serangan ganas seorang ekstremis berhaluan kanan pada Julai 2011, apabila 77 orang terbunuh di tangan Anders Behring Breivik. – AFP, 11 Ogos, 2019.
Komen