Tabung amanah pastikan anak nelayan tak cicir sekolah, kata LKIM


Zaim Ibrahim

Dana khas itu bertujuan untuk memastikan anak nelayan dapat meneruskan pendidikan sekiranya bapa mereka tidak lagi dapat menyara keluarga. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Ogos, 2019.

LEMBAGA Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sedang menubuhkan dana khas untuk memastikan anak nelayan dapat meneruskan pendidikan sekiranya bapa mereka tidak lagi dapat menyara keluarga.

Pengerusinya Muhammad Faiz Fadzil berkata ia akan mengelakkan anak nelayan ini berhenti sekolah untuk turut menjadi nelayan bagi menyara keluarga seperti yang berlaku di Sabak Bernam.

Menurutnya, LKIM kini sedang melakukakan kajian terperinci bagi melaksanakan skim berkenaan.

“LKIM dalam peringkat kajian untuk menubuhkan Kumpulan Wang Amanah Nelayan (KWAN) untuk tujuan ini,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Jelasnya, pada masa ini nelayan masih belum terbela seperti pekerja sektor lain yang dilindungi dengan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja atau Pertubuhan Keselamatan Sosial.

“Nelayan hanya dibela melalui perlindungan insurans itupun bagi mereka yg mengalami kemalangan ketika di laut atau musibah bencana,” jelasnya.

Pengerusi LKIM Muhammad Faiz Fadzil berkata dana khas ini akan mengelakkan anak nelayan ini berhenti sekolah untuk turut menjadi nelayan bagi menyara keluarga seperti yang berlaku di Sabak Bernam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Ogos, 2019.

Dana khas itu akan membantu nelayan yang uzur dan tidak dapat lagi turun ke laut meneruskan hidup seperti biasa tanpa menjejaskan peluang pendidikan anak, katanya.

Beliau mengulas laporan The Malaysian Insight baru-baru ini mengenai remaja di Sabak Bernam yang berhenti persekolahan bagi menyara keluarga.

Dianggarkan seramai 100 orang remaja itu kini menjadi nelayan pantai di kawasan Sungai Besar di Sabak Bernam kerana dihimpit kemiskinan.

Remaja berkenaan mula berhenti sekolah ketika melangkah masuk ke sekolah menengah iaitu antara usia 13 hingga 17 tahun.

Menurut Faiz, ia merupakan kes terpencil.

Sabak Bernam merupakan daerah termiskin di Selangor maka, ramai remaja berhenti sekolah dan bekerja di pelbagai sektor bagi membantu keluarga masing-masing, katanya.

Menurutnya LKIM akan membantu remaja ini mendapat bantuan khas daripada Yayasan Nelayan Malaysian dan memberi latihan perikanan di institut Jabatan Perikanan Malaysia di Setiawan. – 12 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen