PUTRAJAYA mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelak timbul lagi kekecohan daripada pelaksanaan sebarang dasar kerajaan yang sebelum ini dipersetujui dan diputuskan oleh pentadbiran Barisan Nasional, kata sumber.
The Malaysian Insight diberitahu mesyuarat Jemaah Menteri minggu lalu memutuskan semua keputusan berkaitan dasar kerajaan yang dibuat oleh pentadbiran BN perlu dapat kelulusan semula Jemaah Menteri.
Mesyuarat pada Rabu itu dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Kabinet mahu semua keputusan itu mendapat kelulusan semula bagi mengelakkan sebarang isu berbangkit dalam pelaksanaannya, sama seperti dalam isu tulisan khat Jawi itu, kata sumber.
“Ada sesetengah keputusan sebelum ini, pelaksanaannya tiada sebarang masalah tetapi bila timbul isu seperti tulisan khat ini, kerajaan telah disalah tafsir. Reaksi yang timbul terhadap isu khat ini banyak sangat.
“Jadi mulai sekarang, apa jua keputusan yang telah dibuat oleh kerajaan lepas, pelaksanaannya mesti mendapat persetujuan semula kabinet dahulu.
“Apabila melalui kabinet, kerajaan boleh nilai semula pelaksanaannya sama ada kena pada waktunya, dari segi kos dan tidak menimbulkan keadaan tegang,” kata sumber di Putrajaya kepada The Malaysian Insight.
Seorang sumber lain juga di Putrajaya yang maklum mengenai mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu lalu mengesahkan perkara itu ada diputuskan minggu lalu.
Keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) meneruskan pelaksanaan pengenalan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil bermula pada peringkat Tahun 4 tahun depan mendapat bantahan keras masyarakat Cina dan India.
Bantahan itu paling lantang terdengar daripada Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) serta beberapa badan lain termasuk Yayasan Tamil.
Menurut sumber, pihak kementerian tidak memaklumkan garis masa pelaksanaan pengenalan tulisan khat itu kepada Menteri Dr Maszlee Malik kerana berpandangan mereka hanya mengikut garis masa pelaksanaan yang sudah dipersetujui dan ditetapkan oleh kerajaan sebelum ini.
“Maszlee tidak tahu. Bila pentadbiran dikritik, susah hendak beri jawapan balas, penjelasan dan sebagainya. Ia sudah jadi isu sensitiviti agama dan kaum.
“Tetapi kementerian juga tidak salah kerana mereka hanya ikut garis masa pelaksanaan yang dibuat oleh kerajaan BN pada 2014,” kata sumber.

Pada 2014, kementerian menyemak semula Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), dengan melibatkan pakar bahasa dan pendidikan. Ia diluluskan oleh Jawatankuasa Kurikulum Kebangsaan pada 5 Februari 2015.
Mengikut jadualnya, KSSR yang disemak semula itu dilaksanakan untuk peringkat Tahap II bermula Tahun 4 mulai tahun depan.
Menteri Pendidikan pada masa itu ialah Muhyiddin Yassin, yang sekarang juga seorang anggota kabinet Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dalam pentadbiran Pakatan Harapan (PH).
Selepas bantahan dan tekanan daripada pendukung sekolah jenis kebangsaan terutamanya Dong Zong serta mendengar pandangan DAP yang juga komponen PH, Jemaah Menteri minggu lalu memutuskan pembelajaran tulisan Jawi di sekolah Cina dan Tamil hanya pilihan.
Jumlah halamannya pada buku teks juga dikurangkan daripada 6 muka surat menjadi tiga.
Keputusan kabinet itu bagaimanapun tidak meredakan keadaan.
Pada Jumaat, Dong Zong melancarkan kempen mengumpul tanda tangan untuk menegaskan bantahan terhadap pembelajaran tulisan Jawi di sekolah Cina.
Petisyen itu akan turut disertai lembaga pengelola sekolah jenis kebangsaan, persatuan ibu bapa dan guru, persatuan alumni serta pertubuhan Tamil.
Beberapa badan masyarakat India turut mengadakan bantahan berasingan.
Semalam, veteran DAP Lim Kit Siang berkata susulan isu tulisan Jawi ini, DAP boleh hilang antara 30 hingga 40% undi sekiranya pilihan raya diadakan sekarang. – 12 Ogos, 2019.
Komen