Mengajar khat di sekolah Tamil tidak realistik, kata Waytha


Ragananthini Vethasalam

Waytha berkata terdapat kemahiran lain, seperti kemahiran 'coding' yang harus pelajar pelajari di sekolah, oleh itu, menurutnya seni kaligrafi yang tidak perlu diperkenalkan di sekolah-sekolah Tamil. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Ogos, 2019.

PENGAJARAN khat di sekolah-sekolah Tamil tidak realistik, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waythamoorthy dipetik Malaysiakini. 

Beliau juga dipetik berkata yang langkah Kementerian Pendidikan untuk mengurangkan halaman pelajaran khat kepada tiga muka surat dari enam halaman sebelum ini sebagai satu langkah tergesa-gesa.

“Ketika terdapat banyak aduan bahawa sistem pendidikan membebankan pelajar, kerajaan seharusnya mencari cara untuk mengurangkan beban mereka,” katanya.

Waytha berkata terdapat kemahiran lain, seperti kemahiran ‘coding’ yang harus pelajar pelajari di sekolah, oleh itu, menurutnya seni kaligrafi yang tidak perlu diperkenalkan di sekolah-sekolah Tamil.

Menambahkan bahawa banyak menteri lain juga tidak bersetuju dengan langkah Kementerian Pendidikan, Waytha berkata mereka yang ingin belajar seni boleh melakukannya secara persendirian.

Waytha berkata terdapat isu lain yang lebih penting dalam sistem pendidikan, seperti pengangguran siswazah, yang perlu ditangani.

Menteri yang berperanan menguruskan hal ehwal kaum India itu merupakan individu terbaru menyuarakan pendapat mengenai pengajaran subjek berkenaan selepas beberapa kumpulan Cina dan Tamil sebelum ini menyatakan rasa tidak puas hati terhadap keputusan kementerian itu.

Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) berkata pada hari Sabtu ia akan melancarkan petisyen menentang khat diajar di sekolah-sekolah vernakular, walaupun jaminan dari Kementerian Pendidikan bahawa ia tidak akan dijadikan sebagai subjek peperiksaan.

Pengerusi Dong Zong Tan Tai Kim berkata kempen itu akan mendapat sokongan daripada persatuan Cina, lembaga pendidikan, persatuan ibu bapa dan guru, kumpulan alumni dan kumpulan pendidikan Tamil.

Beliau berkata petisyen itu akan menggesa Kementerian Pendidikan untuk mengekalkan pengenalan khat bersama dengan tulisan Cina dan Tamil untuk sukatan pelajaran Tahun 5 Bahasa Malaysia.

“Pelajar bukan Islam yang diperkenalkan dengan tulisan khat bukan sahaja tidak dapat diterima oleh komuniti bukan Islam bahkan ia juga melanggar Perkara 12 (3) Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu sidang akhbar.

Usaha melancarkan petisyen itu bermula selepas kabinet memutuskan untuk meneruskan pengenalan pelajaran khat untuk murid-murid Tahun Empat di sekolah-sekolah vernakular, tetapi dengan beberapa penyesuaian, kata Menteri Pendidikan Maszlee Malik pada hari Khamis.

Menteri pendidikan itu berkata keputusan tersebut dicapai pada mesyuarat mingguan selepas kabinet membincangkan isu bantahan terhadap kemasukan khat dalam sukatan mata pelajaran Bahasa Malaysia.

Di bawah arahan kabinet baru, pelajaran khat akan meliputi tiga halaman dalam buku teks Bahasa Malaysia Tahun Empat, dari enam muka surat yang dicadangkan sebelum ini. – 11 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen