PERTEMPURAN antara tentera pro-kerajaan dan pemisah di bandar Aden, Yaman telah membunuh kira-kira 40 orang dan mencederakan 260 orang lain termasuk orang awam, kata Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) hari ini.
“Sebilangan orang awam terbunuh dan cedera sejak 8 Ogos lalu ketika pertempuran meletus di bandar Aden. Laporan awal menunjukkan bahawa seramai 40 orang terbunuh dan 260 cedera,” kata kenyataan PBB.
“Sangat menyedihkan ketika sambutan perayaan Aidil Adha, keluarga meratapi kematian orang yang disayangi mereka bukannya meraikannya dalam aman dan harmoni,” kata Koordinator Kemanusiaan PBB di Yemen, Lise Grande.
“Kebimbangan utama kami sekarang adalah menghantar pasukan perubatan untuk menyelamatkan mereka yang cedera,” katanya.
“Kami juga sangat risau dengan laporan bahawa orang awam yang terperangkap di dalam rumah mereka kehabisan makanan dan air,” kata Grande, menggesa pihak berkuasa untuk melindungi orang awam.
“Keluarga perlu berpindah ke tempat selamat untuk memastikan mereka mendapat keperluan asas untuk terus hidup.
“Kami meminta pihak berkuasa untuk menjamin akses tanpa henti untuk organisasi kemanusiaan,” katanya.
Pertempuran meletus pada Rabu antara pasukan kerajaan Yaman yang didukung oleh gabungan yang diketuai Arab Saudi bersama-sama Emiriah Arab Bersatu dan kumpulan pemisah selatan Syiah Huthi bagi membebaskan wilayah itu daripada kekuasaan pusat. – AFP, 11 Ogos, 2019.
Komen