64 maut lori tangki minyak meletup di Tanzania


Seramai 64 maut dan 70 yang lain cedera apabila lori tangki minyak yang terbabit nahas meletup ketika orang ramai berpusu-pusu mencuri bahan bakar yang bocor. – Gambar EPA, 11 Ogos, 2019.

TANZANIA berkabung pada Ahad ketika bersiap-sedia untuk mengebumikan 64 mangsa yang maut dalam kejadian lori tangki minyak terbabit kemalangan yang kemudiannya meletup ketika orang ramai berpusu-pusu menadah minyak yang bocor.

Presiden John Magufuli mengisytiharkan tempoh berkabung sehingga Isnin susulan letupan maut berhampiran bandar Morogoro, barat Dar es Salaam.

Beliau akan diwakili Perdana Menteri Kassim Majaliwa bagi menghadiri upacara pengebumian, kata kenyataan rasmi.

Pengebumian itu akan bermula petang Ahad, umum Menteri Hal Ehwal Parlimen Jenista Mhagama pada sebelah selepas saudara-mara mengenal pasti mayat.

Kejadian terbaru dalam satu siri bencana serupa di Afrika ini menyebabkan 64 maut dan 70 orang cedera, kata Gabenor Morogoro, Stephen Kebwe.

Seramai 39 mangsa yang cedera parah dibawa ke hospital di Dar es Salaam manakala yang lain dirawat di Morogoro, 200 kilometer (125 mil) barat ibu kota ekonomi Tanzania.

Presiden Magufuli pada Sabtu menggesa orang ramai menghentikan amalan berbahaya mencuri bahan bakar sedemikian rupa, satu peristiwa biasa di kalangan penduduk miskin di Afrika.

Bulan lalu, 45 orang terbunuh dan lebih 100 cedera di ibu negara Nigeria apabila sebuah lori tangki petrol terlibat nahas dan kemudian meletup ketika orang ramai cuba mengambil bahan api.

Antara bencana yang paling dahsyat, 292 orang kehilangan nyawa di Republik Demokratik Kongo timur pada Julai 2010, dan pada September 2015 sekurang-kurangnya 203 orang maut di bandar Maridi, Sudan Selatan. – AFP, 11 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen