KERAJAAN dan pembangkang perlu berhenti daripada berpolemik atas isu yang tidak ada manfaat sebaliknya fokus pada isu yang melibatkan masa depan negara, kata pengasas badan penyelidik The Centre, Shahril Hamdan.
Isu yang dipolemikkan semata-mata atas sentimen kaum dan agama, seperti perobohan bumbung Menara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), hanya akan menyebabkan rakyat terutamanya golongan muda bosan dengan politik, katanya, yang juga Naib Ketua Pemuda Umno.
“Lebih baik kedua-dua pihak memikirkan soal masa depan negara, yang membawa kesan kepada keadaan ekonomi rakyat daripada kita fokus kepada perkara yang bukan isu.
“Selagi kita berperang dengan benda-benda yang tidak membawa sebarang hasil, melainkan hanya permainan sentimen semata-mata, selagi itu orang muda terutamanya pengundi 18 tahun dan 21 tahun ini, akan rasa bosan dengan kedua-dua pihak,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.
Bumbung Menara DBP jadi isu hangat selepas bekas pengarang kanan Mingguan Malaysia, Ku Seman Ku Hussain mengulas di Facebook menyifatkan tindakan roboh itu “tidak cerdik” dan condong ke arah Islamofobia.
Beliau mendakwa struktur bumbung itu menyerupai rehal, yang dianggap juga sebagai syiar Islam sesuai dengan kedudukannya sebagai agama Persekutuan.
Komen itu memicu pelbagai reaksi, termasuk daripada beberapa pemimpin PAS yang menuduh tindakan meroboh “rehal” satu lagi bukti kerajaan Pakatan Harapan meremehkan Melayu dan Islam.
Ketua Pengarah DBP Abang Sallehuddin Abang Shokeran dalam satu kenyataan kemudian menjelaskan bumbung itu terpaksa dirobohkan kerana sudah tidak selamat akibat hakisan dan karat yang teruk.
Bagaimanapun DBP dalam satu notis kepada staf dan pelanggan untuk memaklumkan pelaksanaan kerja perobohan itu turut merujuk struktur tersebut sebagai rehal.
“Nasihat saya kepada kerajaan, sebelum ada isu, berkomunikasilah dengan baik tanpa menyerang sesiapa dan angkuh,” kata Shahril.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Institut Darul Ehsan (IDE), Dr Mohammad Redzuan Othman menyifatkan polemik perobohan bumbung Menara DBP yang disalah anggap sebagai simbol Melayu dan Islam, sama seperti isu tulisan Jawi, tidak akan mengikis keyakinan orang Melayu kepada kerajaan.
Kajian IDE berhubung pandangan rakyat terhadap peranan kerajaan dalam memartabatkan Islam mendapati rakyat sebenarnya positif walaupun suara dan perbincangan di media sosial menunjukkan sebaliknya.
“Kalau kita lihat di media sosial, memang isu itu nampak besar macam kerajaan hendak runtuh tetapi bila kita buat kajian di Selangor contohnya, realitinya tidak begitu.
“Masyarakat secara umumnya tidak mengambil serius isu-isu begitu. Kita dapati sokongan daripada orang Melayu dan bukan Melayu (kepada kerajaan) sangat tinggi. Tiada isu langsung.
“Orang bukan Melayu juga tidak merasakan akan berlaku pengislaman terhadap mereka bila timbul isu seperti tulisan Jawi baru-baru ini,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Menurut Redzuan, masyarakat di media sosial banyak dipengaruhi oleh kelompok tertentu yang mempunyai kepentingan ke atas sesuatu isu.
“Kalau kita tanya kepada kelompok macam Dong Zong, memang mereka bantah tetapi kalau kita tanya masyarakat Cina secara keseluruhannya, bagi mereka tiada isu.
“Kita terpengaruh dengan kelompok-kelompok yang semua perkara hendak jadi isu,” ujarnya. – 11 Ogos, 2019.
Komen