Korban taufan Lekima cecah 28 orang


Taufan Lekima menyebabkan tanah runtuh awal pagi di bandar Wenling dengan kelajuan angin 187 kilometer sejam dan dijangka bergerak ke arah timur menuju ke Shanghai. – Gambar AFP, 11 Ogos, 2019.

JUMLAH korban akibat taufan Lekima meningkat kepada 28 di timur China, kata pihak berkuasa tempatan hari ini, ketika pasukan penyelamat berusaha mengesan mangsa yang hilang selepas ribut menyebabkan tanah runtuh dan memaksa lebih sejuta orang berpindah.

Badai kuat tiba di bandar Wenling pada awal pagi semalam, membawa angin selaju 187kmj serta gelombang beberapa meter tinggi memukul pantai.

Semalam, stesen televisyen kebangsaan CCTV berkata 18 orang meninggal dunia dalam kejadian tanah runtuh yang dicetuskan oleh hujan lebat di Wenzhou, kira-kira 400km dari Shanghai.

Tidak jelas sama ada 10 kematian yang diumumkan hari ini disebabkan oleh insiden yang sama.

Seramai 20 orang masih hilang, menurut pihak berkuasa wilayah Zhejiang.

“Pada masa ini, kerja mencari dan menyelamat dari pelbagai wilayah masih berterusan,” kata mereka di platform media sosial Weibo.

Lebih sejuta orang dipindahkan dari kediaman mereka sebelum taufan, kata agensi berita rasmi Xinhua. Sekitar 110,000 orang ditempatkan di pusat perlindungan.

Di wilayah Zhejiang sahaja, hampir 300 penerbangan dibatalkan, dan perkhidmatan feri serta kereta api digantung sebagai langkah berjaga-jaga.

Hari ini, rakaman daripada CCTV menunjukkan pekerja penyelamat menaiki bot melalui bandar Linhai,yang kebanyakan jalannya ditenggelami air berlumpur.

Laporan media tempatan juga menunjukkan pasukan penyelamat membawa penduduk yang terkandas menaiki bot keselamatan, dengan langit mula cerah apabila ribut bergerak ke pantai.

Lekima tiba di Jiangsu wilayah utara Shanghai dan dijangka membadai wilayah Shandong. Kedua-dua wilayah itu sudah mengeluarkan amaran merah kerana hujan lebat. – AFP, 11 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen