SEJAK berdekad lalu, Sabah menjadi rumah kedua kepada ribuan rakyat selatan Filipina yang melarikan diri daripada ketegangan di negara sendiri sejak 1970-an.
Kira-kira 55,000 daripada mereka adalah pemegang IMM13 – kad pelarian diberikan kerajaan Malaysia yang membenarkan mereka bekerja di Sabah.
Selama bertahun-tahun ini, mereka bekerja dalam sektor pertanian dan kedai kopi, menyebabkan penduduk tempatan dan ahli politik terus-terusan mempersoalkan kehadiran dan keperluan adanya mereka di Sabah.
Pihak berkuasa juga sibuk menghantar pulang pendatang ini tetapi mereka tetap datang lagi.
The Malaysian Insight menemu bual beberapa pendatang haram ini untuk mengetahui kenapa mereka tidak memilih untuk kembali ke tanah air sendiri walaupun berdepan kehidupan sukar di Sabah.
Norma Jalin, 32, berkata dia tidak terfikir untuk kembali ke tanah kelahirannya di Tawi-Tawi di selatan Filipina sejak tiba di Sabah pada umur lima tahun.
Pekerja kedai kopi itu berkata dia datang ke Sabah bersama ibu bapanya dan abangnya Amin kira-kira 27 tahun lalu selepas bapanya tidak dapat mencari kerja di kampung halaman mereka.
“Bapa saudara kami mengajak kami ke Sabah dan bekerja dengannya memasang batu di tapak pembinaan di Kota Kinabalu,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Katanya, ia perjalanan yang panjang dan memenatkan, menaiki bot dari Tawi-Tawi ke Sandakan, sebelum menggunakan kenderaan berjam-jam lamanya ke Kota Kinabalu dan 10 minit lagi ke perkampungan air di Pulau Gaya, lokasi selamat bagi pendatang asing tanpa izin ketika itu.
“Sementara bapa bekerja di tapak pembinaan, ibu saya ada kera di restoran India Muslim,” katanya, di mana Norma bekerja di restoran yang sama sekarang.

Katanya, dia mula bekerja di restoran itu pada usia 16 tahun selepas bapanya menerima dokumen IMM13 yang membolehkan mereka mencari rezeki di negeri itu.
Norma bermula dengan kerja mengemas meja dan kemudian dilatih membuat minuman dengan gaji RM900 sebulan, bawah paras gaji minimum yang ditetapkan untuk Sabah dan Sarawak.
“Saya akan hanya pulang ke Tawi-Tawi jika saya boleh berniaga di situ. Sukar mencari rezeki di Filipina. Lebih baik di sini,” katanya.
Bagi Ahmad Jamal, 42, yang berasal dari Marawi, bagaikan diberikan kehidupan kedua di Sabah selepas dibebaskan dari penjara Kapayan kerana tuduhan membunuh pada 2000.
Dibebaskan pada 2017, dia kini bekerja sebagai sub kontraktor di tapak pembinaan berhampiran Putatan, kira-kira 10 minit dari Kota Kinabalu.
Memperoleh pendapatan RM35 sehari, Ahmad berkata dia merindui kampung halamannya di Filipina kerana isteri dan anak masih di sana.
“Tetapi dengan keadaan kewangan sekarang, sukar untuk saya pulang. Apa yang mampu saya buat ialah mula menghantar wang kepada mereka,” katanya, menambah kali terakhir bertemu isterinya dua tahun lalu ketika Marawi dikepung.
Marawi dikepung lima bulan ketika konflik bersenjata yang bermula pada Mei 2017, antara tentera Filipina dan tentera militan yang dikaitkan dengan ISIL, dan kumpulan Abu Sayaf.
Ahmad tinggal di Pulau Gaya dan menggunakan bot setiap hari ke Putatan.
Katanya, dia mengelak daripada pihak berkuasa dengan melarikan diri dari satu perkampungan air ke kampung lain, dari Pulau Gaya ke Tanjung Aru, Sepanggar, Likas atau di Petagas.
Dia tidak dapat memohon kad IMM13 kerana Jabatan Imigresen menghentikan pengeluarannya sejak 2013.
Sejak 1990 hingga Ogos tahun lalu, Jabatan Imigresen menghantar pulang kira-kira 574,619 pendatang tanpa izin di Sabah.
Setakat tahun ini, lebih 500 operasi memburu pendatang tanpa izin diadakan oleh Jabatan Imigresen, dengan lebih 3,000 ditahan dan disiasat sebelum dihantar pulang, kata Jabatan Imigresen Sabah. – 11 Ogos, 2019.
Komen