SYARIKAT gergasi telekomunikasi China, Huawei melancarkan televisyen pintarnya yang baharu, produk pertama menggunakan sistem operasi sendiri.
Televisyen itu akan mula dijual pada Khamis di China dan menandakan permulaan penggunaan HarmonyOS, kata ketua eksekutifnya George Zhao, menambah ia akan dipasarkan di bawah Honor, jenama untuk rangkaian harga sederhana.
Huawei mendedahkan HarmonyOS yang dinanti-nantikan, sebagai sistem operasi alternatif bagi telefon dan perkakasan pintar yang lain, ketika Amerika Syarikat (AS) mengenakan sekatan terhadap syarikat itu daripada menggunakan teknologi Android.
Syarikat AS secara teorinya tidak dibenarkan lagi menjual produk teknologi kepada Huawei, tetapi tempoh tiga bulan pengecualian itu yang akan berakhir minggu depan – dikenakan oleh Washington sebelum langkah itu dikuatkuasakan.
Sekatan itu boleh menyebabkan Huawei tidak memperoleh perkakasan dan perisian utama, termasuk cip telefon pintar dan elemen dari sistem operasi Google Android, yang mengendalikan majoriti telefon pintar di dunia, termasuk Huawei.
Huawei yang dianggap sebagai mengetuai peralatan generasi kelima atau 5G dunia dan pengeluar kedua terbesar dunia bagi telefon pintar – disenaraihitamkan oleh Presiden Donald Trump kerana disyaki menyediakan ruang kepada perkhidmatan risikan China, di mana syarikat itu menafikannya. – AFP, 11 Ogos, 2019.
Komen