SEORANG lelaki yang membawa pelbagai senjata melakukan tembakan rambang di sebuah masjid di Oslo, Norway semalam, menyebabkan seorang cedera, sebelum suspek ditahan, kata polis dan saksi.
Beberapa jam selepas serangan itu, mayat seorang wanita muda yang ada kaitan dengan suspek ditemui di sebuah rumah di kawasan pinggir bandar Baerum di mana insiden tembakan itu berlaku pada siangnya, kata polis petang semalam.
Penyiasat menyifatkan kematian wanita itu sebagai mencurigakan dan percaya ia kes bunuh.
Ketua masjid itu menggambarkan penyerang sebagai seorang lelaki muda berkulit putih memakai baju hitam dan memakai topi keledar serta jaket kalis peluru.
Katanya, hanya tiga jemaah berada di dalam pusat Islam al-Noor ketika serangan itu.
Polis dimaklumkan tentang insiden itu selepas 4 petang.
Polis pada mulanya melaporkan seorang mangsa ditembak, tetapi kemudiannya mengesahkan seorang mangsa mengalami kecederaan kecil dan tidak jelas adakah ia akibat kesan tembakan.
Polis berkata suspek dipercayai bertindak sendirian.
“Suspek seorang lelaki Norway, dengan latar belakang Norway. Dia tinggal di kawasan sama,” kata jurucakap polis Oslo Rune Skjold.
Pada Julai 2011, satu insiden terburuk serangan ekstremis kulit putih pernah berlaku di Norway, dengan 77 terbunuh oleh penyerang Anders Behring Breivik. – AFP, 11 Ogos, 2019.
Komen