PULUHAN ribu rakyat berhimpun di Bucharest semalam mendesak peletakan jawatan kerajaan, tepat setahun selepas satu demonstrasi dihentikan secara ganas oleh pasukan keselamatan.
Menurut agensi berita Romania, Agerpres, dianggarkan 24,000 penunjuk perasaan berkumpul di luar ibu pejabat kerajaan di ibu kota, mengibarkan bendera negara dan melaungkan “Pencuri” dan “Letak jawatan”.
“Negara ini menuju ke arah yang salah. Tidak ada masa depan untuk orang muda,” kata seorang pelajar perubatan, Bogdan Iliescu, 19.
“Kami mahu kerajaan yang bekerja untuk kami, bukan atas kepentingan sendiri.”
Mereka antara kira-kira 80,000 orang yang disuraikan dengan gas pemedih mata, meriam air dan kayu getah pada himpunan aman di tapak yang sama dengan himpunan pada 10 Ogos, 2018.
Lebih 450 cedera dan 700 aduan difailkan terhadap anggota keselamatan. Tetapi setahun berlalu, siasatan terhadap ketua polis masih tertangguh.
Presiden berhaluan kanan Romania Klaus Iohannis – yang sering berbalah dengan kerajaan sosial demokrat Perdana Menteri Viorica Dancila – menyifatkan himpunan tahun lalu sebagai tragedi dan menggesa polis tidak menggunakan kekerasan kali ini.
Tunjuk perasaan semalam turut memberi penghormatan kepada dua remaja perempuan, Alexandra dan Luiza, di mana kematian mereka mengejutkan negara itu dan mencetuskan protes jalanan.
Seorang suspek dari Caracal mengaku melakukan pembunuhan itu.
Pihak berkuasa dikecam selepas diketahui salah seorang daripada mangsa yang berusia 15 tahun itu, membuat tiga panggilan kecemasan untuk melaporkan penculikannya, tetapi polis gagal bertindak cepat.
Beberapa pegawai kanan termasuk ketua polis Ioan Buda dan menteri dalam negeri Nicolae Moga dipecat berhubung kes itu. – AFP, 11 Ogos, 2019.
Komen