Minum kopi bersama pelacur


Zainal Rashid Ahmad

MENGEMBARA bersama isteri dan menghabiskan masa menyelinap kehidupan pelacur, bukanlah percutian biasa. Apalagi dengan konsep “backpacking” dan meredah perjalanan tanpa jadual.

Merancang untuk menghabiskan masa larut malam dengan minum kopi bersama pelacur bukanlah gaya hidup percutian suami isteri. Itu aneh bunyinya. Tetapi, dalam dunia sekarang, manusia ingin melihat sesuatu dengan mata kepala sendiri.

Malah, ingin bertanya dan mendengar jawapan serta bersoal jawab tanpa prejudis dengan subjek yang ingin difahaminya.

“Bolehlah, saya nak lepak dan berbual-bual saja,” rayu isteri saya.

Isteri saya bertudung dan aktif dalam kegiatan marhaban. Aktiviti yang diikutinya sejak berusia tiga puluhan. Dia dibesarkan dalam keluarga polis dan sangat ketat disiplin harian.

Namun, dunianya berubah pada era media sosial. Dia membaca dan mendengar banyak komen dan spekulasi mengenai pelacuran. Justeru, saya fikir – itu antara obsesi yang mendorong dirinya ingin mendekati kehidupan sebenar seorang pelacur.

“Banyak benda lain dalam dunia. Hairan… kenapa kehidupan pelacur yang awak nak tahu,” rungut saya.

Barangkali, setelah anak-anak dewasa dan dirinya punya banyak waktu senggang, isteri saya ingin melihat dunia secara lebih objektif dan realistik. Dia ingin punya justifikasi sendiri tanpa dipengaruhi stigma sosial.

Saya sudah puas mengembara sebagai wartawan selama 20 tahun bekerja. Sekarang, isteri pula ingin melihat dunia dan lebih dramatik. Dia mahu melihat realiti gelapnya.

Jadi, puas berfikir: untuk trip “backpacking” begini, mana destinasi sesuai. Terutama keselamatan. Ke Manila atau Bangkok, atau ke Jakarta?

Malah, saya terfikir: mengapa tidak ke Bukit Bintang saja?

Sebagai wartawan, saya tahu selok-belok hotel mewah dan bangunan catuk tempat pelacur bersarang di sekitar Kuala Lumpur. Malah, dengan satu panggilan saja, sumber boleh membantu memperoleh kod penyamaran untuk menembusi pintu premis pelacur.

Tapi, saya tahu isteri mahu melihat dunia di luar jangkauan. Malah, sambil menikmati travel backpacking yang menjadi kegilaan generasi sekarang. Mengembara ala hippie pada era gaya hidup anak milenial.

“Baiklah… tapi kita ke Batam saja. Keadaan lebih tenang dan komunikasi lebih mudah. Kalau di Thailand atau Filipina, susah nak faham bahasa. Di KL pula, sukar sebab keluar masuk ke kawasan pelacur dikawal gengster. Apalagi kalau bawa isteri,” kata saya.

Kami memilih untuk segera berangkat ke Batam. Keputusan 24 jam tanpa perlu banyak persediaan. Sumbat saja tiga empat helai pakaian. Pastikan pasport dibawa dan terus saja memandu ke jeti feri di Stulang Laut, Johor.

Cuma, jangan salah faham. Batam bukan kota pelacuran sohor. Cuma di Batam, suasana lebih tenang dan tidak sukar untuk membayar seorang pelacur dan diajak berbual di warung.

Lebih selamat lagi, sindiket pelacuran di Batam tidak dikawal gengster ganas. Kami tahu banyak perkara tentang Batam terutama manusianya. Batam selalu jadi pilihan kalau mahu mengembara secepat kilat dan berkelana tiga atau empat hari ala hippie.

“Kita jalan-jalan waktu siang macam biasa. Ke Pasar Jodoh, Batu Aji, Nagoya Hill atau ke Tebing Langit Bukit Dangas. Malam, apabila dah larut sikit, baru kita masuk kawasan pelacur,” kata saya.

“Setuju. Jom, kita ke Batam,” jawab isteri saya.

Batam bandar kecil mesra pelancong

Kami sudah pernah ke Batam sebelum ini, tetapi lebih banyak berinteraksi dengan peniaga kecil atau berkelana berjalan kaki dari mall ke mall. Cuma, kami lebih suka berkeliaran di pasar-pasar kecil. Kebetulan Batam syurga barangan terpakai yang dibawa masuk dari Singapura.

Saya suka berkeliaran di Pasar Jodoh pada lewat petang hingga larut malam. Atau merayau sepanjang siang di bazar bundle di Batu Aji. Atau melepak di warung kecil di puncak Bukit Cinta dan menikmati kopi kampung dan camilan atau kentang goreng.

Sesekali kembali romantik kalau duduk berdua sambil menikmati aroma malam dari puncak bukit. Berbual ala pasangan muda yang mabuk bercinta sambil melihat lampu-lampu berkelipan di Batam Center.

Kali pertama kami menjejak Batam pada 2014. Ketika itu, fikiran dibayangi cerita-cerita buruk. Batam digambarkan pekan transit bagi mendapatkan khidmat pelacur murahan. Malah, seakan-akan pekan koboi digelumangi seks.

Ada juga stigma, kononnya kota terbesar di kepulauan Riau ini dipenuhi rumah urut dan pusat pelacuran. Mudahnya, imej Batam tidak relevan langsung sebagai destinasi backpacking suami isteri.

Tapi akhirnya, semua itu mitos berisi dusta. Batam bandar menarik. Ibu kota kepulauan Riau dengan sejuta penduduk pelbagai suku Indonesia. Tarikan ekonomi membuatkan Batam dilimpahi pendatang terutama dari pulau Sumatera.

Sejak itu, kami selesa dengan Batam. Pulaunya separuh bandar dan separuh desa. Masih banyak panorama indah – hutan di perbukitan dan suasana pantainya. Cuma, kami bukan pencinta panorama. Kami lebih mencari lokasi yang happening. Gemar bergulat dengan keserabutan manusia.

Itu punca kami selesa menginap di hotel murah berdekatan Jalan Jodoh. Malah, untuk perjalanan kali ini, dengan misi mendekati pelacur, tempat ini sesuai.

Selain pasar pagi dan pasar malam, sekitar kawasan Jalan Jodoh, aksesnya mudah untuk melolos masuk ke kawasan pelacuran.

Lewat malam, di belakang bangunan cabuk yang terpinggir di kawasan berselerak ini, terdapat deretan rumah urut. Imej spektakular tempat pelacur menyembunyikan sudut gelapnya.

Ngopi bersama Deja, pelacur dari Medan

Kami duduk di warung catuk di belakang deretan bangunan di hujung Jalan Jodoh. Hari sudah melepasi larut malam. Sedikit letih kerana merayau berulang-alik memutar pasar karat barangan murah.

Apa lagi kerap kali berhenti dan bergebang dengan peniaga yang memenuhi kiri kanan jalanan yang padat manusianya.

Seperti biasa, sikap ramah cara terbaik untuk mendekati orang yang tidak dikenali. Walaupun isteri duduk di sebelah, saya tetap tersenyum pada seorang wanita awal dua puluhan yang baru turun dari tangga tingkat atas rumah urut.

Gadis itu nampak serba-salah walaupun membalas senyuman saya. Dia juga memandang isteri saya dan tersenyum.

“Duduklah,” pelawa isteri saya.

Gadis itu nampak terkesima. Dia berhenti di depan meja dan tersenyum tetapi kelihatan sangat tidak selesa. Saya mengelak melihat ke bawah kecuali sedikit mendongak. Gadis itu barangkali malu kerana memakai singlet dan seluar jeans pendek.

“Duduklah… kakak dari Malaysia. Marilah minum kopi,” pelawa isteri saya sambil menarik kerusi.

Melihat isteri saya bersungguh-sungguh, gadis itu akhirnya duduk. Saya berada dekat dengan isteri dan gadis itu kini di depan kami.

“Saya lagi sedang kerja kakak. Tak boleh lama-lama ya,” kata gadis itu.

Melacur demi keluarga

Deja namanya. Orang Medan. Berusia 26 tahun. Pada 2014 hingga 2016, dia bekerja sebagai pelayan kelab malam di Jakarta. Namun, gaji tidak seberapa. Akhirnya jadi pelacur.

“Awal tahun ini, saya datang ke Batam kerana sukar punya langganan di Jakarta. Di sana saingan besar. Saya tak berapa cantik,” katanya jujur.

Kata Deja, ibunya tidak tahu dirinya melacur. Malah, sejak meninggalkan rumah, keluarga beranggapan dirinya bekerja di Jakarta sebagai pendandan.

“Aku bisa mendandan tetapi tidaklah bagus. Mustahil ke Jakarta jadi pendandan,” katanya.

Deja mengirim wang dua minggu sekali ke kampung. Wang penting kerana dua adiknya masih bersekolah. Ayahnya tidak bekerja kerana kurang sihat. Ibu melakukan kerja rencam dengan kemahiran mencuci dan mengemas rumah.

Agak lama berbual dan saya hanya mendengarkan saja. Isteri nampak sangat bersemangat mendengar cerita Deja. Saya memilih untuk mendiamkan diri tetapi tetap memberikan fokus mendengar kisahnya.

“Aku pergi dulu ya kak. Masih kerja,” katanya.

Isteri saya menghulurkan wang 100,000 rupiah. Dia menolak dengan baik. Sambil tersenyum dan melihat saja.

“Bayar saja kopiku,” katanya.

Sebaik saja Deja melangkah pergi, isteri saya termenung. Wajahnya nampak kaget dan tersentuh.

“Hmmm… kasihan nasibnya,” kata isteri saya.

Saya hanya mendiamkan diri. Saya sudah mendengar versi ini di merata tempat di pelbagai kota seluruh dunia. Dari Kosovo ke Addis Ababa. Dari Skopje ke sempadan Turki dan Syria. Semua versi sejagat hampir sama. Wanita melacur kerana derita keluarga.

Tapi di Batam, ia satu pengalaman. Saya mendengar bukan sebagai wartawan. Tetapi sebagai suami kepada seorang wanita yang obses mengenai kisah dan nasib seorang pelacur.

Anehnya, saya tetap mahu menulis dan melaporkan kisahnya.

Aduh… – 11 Ogos, 2019.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen