Jeffrey Epstein bunuh diri dalam penjara


Bulan lalu, Epstein ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri, dipercayai cubaan untuk membunuh diri. – Gambar AFP, 10 Ogos, 2019.

JUTAWAN terkemuka Amerika Syarikat (AS), Jeffrey Epstein yang berdepan tuduhan merogol gadis bawah umur ditemui mati di dalam sel penjaranya dipercayai  akibat membunuh diri.

Kenalan rapat Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump itu ditemui mati tergantung di selnya di Penjara Metropolitan kira-kira 7.30 pagi Sabtu.

Bulan lalu, Epstein ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri, dipercayai cubaan untuk membunuh diri.

Tindakannya itu dipercayai ada kaitan dengan keputusan  Mahkamah New York menolak permohonan ikat jamin Epstein yang didakwa melakukan konspirasi dan penyeludupan seks membabitkan gadis bawah umur.

Epstein menafikan dakwaan itu boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 45 tahun jika disabit bersalah. 

Penjara Metropolitan yang terletak di Manhattan itu sering digunakan untuk suspek menunggu perbicaraan, dan dianggap sebagai pusat tahanan paling selamat di AS.

Pendakwa raya berkata Epstein mengeksploitasi puluhan remaja bawah umur seawal usia 14 tahun di rumahnya di Manhattan dan Palm Beach, Florida antara 2002 dan 2005.

Mereka mendakwa Epstein sedar bahawa kesemua mangsa merupakan golongan bawah umur.

Pihak pendakwa raya berkata mangsa dibayar ratusan dolar untuk mengurut, melakukan aksi seks dan merekrut remaja baru. – AFP, 10 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen