DUA penyokong Najib Razak terus setia hadir setiap hari mengikuti perbicaraan kes jenayah terhadap bekas perdana menteri itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di Jalan Duta walaupun sudah tidak ramai lagi yang berbondong menyambut beliau seperti hari-hari awal ketika mula dihadapkan ke mahkamah awal tahun ini.
Selepas tiga bulan perbicaraan berlangsung, dua penyokong itu, Christi Hon dan Radiah Rashid, masih hadir ke mahkamah sama ada berada di dalam kamar atau luar mahkamah sebagai tanda sokongan kepada Najib yang berdepan tujuh pendakwaan rasuah berhubung kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.
Hon, 60, merupakan bekas pemain catur, berkata beliau menjadi pemerhati perbicaraan itu kerana percaya dakwaan yang dikenakan terhadap Najib tidak adil dan mahu menyaksikan sama ada perbicaraan itu berjalan secara telus.
Ditanya tentang kesetiaannya kepada Najib, Hon berkata beliau sudah berkawan dengan bekas perdana menteri itu selama bertahun-tahun.
Hon berkata beliau merasakan perbicaraan itu tidak menunjukkan sebarang bukti konkrit terhadap salah laku Najib seperti yang didakwa pemimpin Pakatan Harapan.
“Sejak 2016, terdapat banyak dakwaan dan pembohongan dilemparkan (kepada Najib), jadi saya mahu melihat sendiri mengapa mereka mengambil masa setahun enam bulan untuk membuktikannya,” katanya.
“Kenapa saya datang setiap hari? Saya mahu melihat bukti. Saya mahu tanya kepada Pakatan Harapan, kenapa sorokkan bukti? Saya belum melihat sebarang bukti.”

Beliau menyifatkan tuduhan terhadap Najib sebagai pembohongan dan menuduk kerajaan hari ini berkuasa berdasarkan pembohongan untuk menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Hon menghadiri perbicaraan itu secara konsisten dan dilihat berbicara dengan Najib semasa waktu rehat.
“Beliau (Najib) mesti ditunjukkan agar bersalah. Beliau tidak perlu menunjukkan dirinya tidak bersalah. Pihak yang menuduh perlu menunjukkan bukti,” katanya.
Hon berkata Najib merupakan seorang pemimpin yang berkemampuan walaupun memerintah dalam waktu yang singkat, dan bukannya seteruk yang disangka.
“Beliau pemimpin yang baik dan mempunyai kekurangan. Kita semua ada kekurangan.”
Radiah yang pernah bekerja sebagai kerani, tidak pernah terlepas walaupun sehari untuk menghadiri perbicaraan itu yang bermula pada 3 April lalu.

Beliau datang dari Sungai Buloh ke kompleks Mahkamah Jalan Duta setiap hari sebelum Najib tiba dan berada di sana sehingga habis perbicaraan.
Beliau tidak duduk di dalam mahkamah seperti Hon, tetapi menunggu di lobi kompleks mahkamah.
Katanya beliau meluangkan masa untuk berdoa kepada Najib.
Ditanya tentang sokongannya kepada Najib, Radiah berkata beliau rasa terhutang budi dengan segala jasa Najib membantu golongan miskin di Malaysia.
“Ramai orang lupa bagaimana beliau bantu orang miskin menerusi pemberian BR1M dan perkara lain seperti Felda,” katanya.
Radiah berkata beliau tidak pernah bersemuka dengan Najib tapi memahami perasaan yang dihadapi bekas perdana menteri itu terhadap serangan kerajaan Pakatan Harapan.
“Saya rasa beliu sedang dihukum dan apa yang diperlukannya adalah doa dan sokongan,” katanya, menambah beliau akan terus menyokong dan hadir di mahkamah selagi diberikan kesihatan yang baik. – 11 Ogos, 2019.
Komen