Penduduk Seberang Perai bimbang ribut gelombang kedua


Zaim Ibrahim

Hujan lebat dan angin kencang melanda beberapa bahagian di Pulau Pinang, Kedah dan Perlis malam semalam menyebabkan banyak kejadian pokok tumbang dan rumah rosak, selain menjejaskan kemudahan awam. – Gambar The Malaysian Insight, 10 Ogos, 2019.

PENDUDUK di sekitar Seberang Perai, Pulau Pinang sedia menghadapi kemungkinan ribut kuat semalam berulang walaupun agensi kaji cuaca tidak memberikan sebarang amaran hari ini.

Hujan lebat dan angin kencang melanda beberapa bahagian di Pulau Pinang, Kedah dan Perlis malam semalam menyebabkan banyak kejadian pokok tumbang dan rumah rosak, selain menjejaskan kemudahan awam.

Laporan menyebut ia tempias daripada Taufan Lekima yang sedang melanda Taiwan dan beberapa bahagian di China.

Penduduk yang ditemui di sekitar Bukit Mertajam dan Permatang Pauh berkata mereka bimbang juga kejadian sama berulang, apalagi umat Islam esok akan menyambut Hari Raya Aidiladha.

Wazmi Johari Abd Rahim, 46, berkata ribut semalam memberikan kesan trauma kepada keluarganya.

Walaupun hanya bahagian bumbung rumahnya rosak akibat angin kuat, namun pengalaman duduk di dalam rumah ketika ribut kuat melanda di luar adalah sesuatu yang menakutkan selama 19 tahun tinggal di Flat Taman Impian Jaya di Machang Bubuk, Bukit Mertajam.

“Raya kali ini terjejas daripada segi emosi. Waktu kejadian kami sekeluarga pun takut, betul rasa macam puting beliung,” katanya, menceritakan pengalaman mengharungi ribut malam semalam.

“Kami takut nak tinggalkan rumah. Balik  kampung di kawasan terdekat sahaja tetapi rasa tak sedap hati dan kami perlu bersedia (untuk sebarang kemungkinan).”

Di flat itu, bumbung sebuah unit di Blok A tercabut dan menjejaskan lima buah rumah. Semua rumah itu bagaimanapun tidak berpenghuni.

Bumbung yang tercabut bagaimanapun menghempap sebuah rumah teres dua tingkat yang berdekatan.

Pemilik rumah berkenaan, NP Yeeswaran berkata, beliau risau jika malam ini ribut datang sekali lagi.

“Memang risaulah. Bumbung rumah saya pecah akibat daripada bumbung terbang. Kalau hujan pun habislah rumah ini.

“Sebab itu saya baiki dahulu secepat mungkin. Saya pinjam duit kakak ipar untuk baiki dan kontraktor ini sanggup baiki bumbung dulu dan bayar duit kemudian,” katanya.

Menceritakan semula detik-detik kejadian malam semalam, Yeeswaran berkata beliau pada mulanya langsung tidak sedar rumahnya dihempap bumbung.

“Lebih kurang jam 11 malam, kami tahu ada ribut tapi tak sangka jadi seperti ini. Saya perasan ada satu kayu tercampak dan terkena tiang elektrik di rumah saya.

“Kemudian, kawan saya di rumah flat hubungi dan beritahu bumbung timpa rumah saya. Kawasan ruang tamu, bilik anak dan dapur kena.

“Mujur anak saya tiada di rumah. Kalau mereka ada, mungkin mereka akan menjadi mangsa,” katanya sambil menambah, beliau dan isteri tidak tidur sejak semalam kerana trauma.

Yeeswaran menganggarkan beliau rugi hampir RM100,000.

Ibadah korban bertambah cabaran

Sementara itu, penduduk Muslim yang akan menyambut hari raya esok merasa kejadian semalam menjejaskan kemeriahan perayaan.

“Rasanya macam tak sambut. Saya ada rancang hendak sembelih itik tetapi perbelanjaan kami sudah terjejas untuk membaiki segala kerosakan,” kata Nor Fatin Amalina Ramli di Permatang Pauh.

Menurut Fatin, 26, beliau sedang menidurkan anak malam semalam apabila tiba-tiba da dentuman yang kuat.

“Mula-mula, bumbung bahagian belakang yang tercabut. Kemudian angin semakin kuat. Beberapa minit lepas itu, saya dapat rasakan satu gegaran yang kuat… rupa-rupanya bumbung bahagian depan tercabut sepenuhnya,” jelas suri rumah itu, yang tinggal bersama ibu bapanya.

Bumbung yang tercabut itu menyebabkan dua bilik terjejas dan beberapa kelengkapan rumah rosak, dianggarkan bernilai RM20,000.

Dalam pada itu, Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Rozali Mohamud berkata, 257 buah rumah mengalami kerosakan akibat bumbung terbang dan dihempap pokok. Sejumlah 152 batang pokok tumbang di 123 lokasi.

Jelasnya,  MPSP telah menggerakkan 400 kakitangannya untuk bersedia menghadapi sebarang kemungkinan walaupun Jabatan Meteorologi memaklumkan tiada amaran gelombang kedua kejadian ribut.

Dalam kenyataan terbaru, jabatan kaji cuaca itu meramalkan hujan di satu dua tempat pada malam ini di Perlis, Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, dan Sabah.

Sementara itu, hujan lebat di Pulau Pinang bermula lebih kurang 6.15 petang tadi. – 10 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen