Polis geledah rumah bekas banduan dalam pencarian Nora Quoirin


Alfian Z.M. Tahir

Ketua Polis Negri Sembilan, Mohamad Mat Yusof mendedahkan bahawa polis sedang mendapatkan bukti yang boleh menghubungkan kehilangan itu dengan kes penculikan. – Gambarfail The Malaysian Insight, 10 Ogos, 2019.  

POLIS menggeledah beberapa buah rumah dan menyiasat latar belakang jenayah beberapa penduduk Kampung Pantai yang menyaksikan kehilangan remaja warga Britain, Nora Quoirin minggu lalu.

Ketua Polis Negri Sembilan, Mohamad Mat Yusof mendedahkan bahawa polis sedang mendapatkan bukti yang boleh menghubungkan kehilangan itu dengan kes penculikan.

“Ya, kami pergi ke beberapa buah rumah dan kami lakukan pemeriksaan latar belakang sesetengah penduduk setempat, termasuk mereka yang mempunyai rekod jenayah.

“Masih tiada bukti ada penculikan, kami juga menemui pemandu-pemandu teksi jika mereka melihat seorang gadis asing diculik,” kata polis itu.

Mohamad juga berkata setakat ini tiada penduduk di pekan kecil Pantai yang melihat remaja itu.

“Kami tidak mempunyai bukti mengenainya,” katanya.

Quoirin hilang tanpa jejak Ahad lalu dari biliknya di resort rumah penginapan Dusun Pantai Hill setelah tiba bagi bercuti selama dua minggu bersama ibu bapa dan dua lagi adiknya.

Polis berkata Quoirin meninggalkan vila itu dengan hanya berpakaian dalam dan tiada siapa yang melihatnya sejak hari itu.

Pagi ini, ibu Nora Quoirin mengucapkan terima kasih kepada anggota keselamatan yang terlibat dalam misi mencari dan menyelamatkan anak perempuannya.

Meabh Quoirin bersama suaminya, Sebastian, menghargai usaha penyelamat ketika operasi pencarian kini memasuki hari ketujuh.

Ia adalah penampilan pertama pasangan itu sejak anak perempuan mereka hilang dari bilik tidurnya pada Ahad lalu.

Dalam misi hari ini, 317 anggota dikerahkan termasuk puluhan komando elit Vat 69.

Polis mengambil beberapa cap jari dari tingkap kiri yang dibiar terbuka di vila itu tetapi tidak mendedahkan penemuan mereka.

Polis juga menggunakan rakaman suara Meabh dalam usaha untuk menarik perhatian remaja itu dari hutan Jeram Toi, yang terletak di sebelah Gunung Berembun.

Kes ini masih diklasifikasikan sebagai kes hilang walaupun ada gesaan dari keluarga untuk mengklasifikasi semula kes itu sebagai kes culik.

Rumah penginapan Dusun Pantai Hill terletak di sebelah Gunung Berembun dan terletak di hutan Jeram Toi berhampiran Seremban. – 10 Ogos, 2019.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen