Polis perkecil kawasan pencarian Nora


Alfian Z.M. Tahir

Polis percaya mangsa tidak akan berada jauh dan pasukan pencarian akan meneliti kawasan yang menjadi fokus utama. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Ogos, 2019.

POLIS mengecilkan kawasan pencarian remaja Britain, Nora Quoirin yang dipercayai tidak pergi terlalu jauh ketika kes kehilangannya memasuki tempoh seminggu.

Ketua polis Negeri Sembilan Mohamad Mat Yusof berkata kawasan pencarian kini diperkecil dari enam zon kepada empat zon.

Beliau berkata pihaknya percaya mangsa tidak akan berada jauh dan pasukan pencarian akan meneliti kawasan yang menjadi fokus utama.
 
Beliau juga berkata polis tidak menetapkan tempoh pencarian tetapi pihak berkuasa semakin bimbang dengan tahap kesihatan mangsa.

Mohamad berkata mereka tidak boleh menjangkakan tempoh remaja berusia 15 tahun itu mampu bertahan di dalam hutan.

“Sudah tentu kita bimbang tahap keselamatannya. Kita tidak pasti berapa lama dia mampu bertahan tetapi tiada tempoh masa untuk misi mencari dan menyelamat ini,” katanya pada sidang media petang ini.

Nora Anne yang menghadapi masalah pembelajaran, tiba bersama keluarganya pada Sabtu untuk bercuti selama dua minggu sebelum keluarga menyedari kehilangannya dari biliknya di The Dusun Resort, di Nilai pada pukul 8.00 pagi hari berikutnya.

 Polis berkata dia meninggalkan biliknya hanya dengan berpakaian tidur dan tiada siapa melihatnya sejak itu.

Hari ini, misi mencari dan menyelamat melibatkan 317 anggota termasuk puluhan komando elit VAT69.

Polis juga mengambil beberapa cap jari dari sebuah tingkap yang terbuka di vila itu tetapi enggan mendedahkan siasatan berhubung perkara itu.

Polis juga menggunakan suara rakaman ibunya, Meabh dengan harapan dapat menarik perhatian remaja itu yang hilang di hutan Jeram Toi dekat Gunung Berembun.

Kes itu masih diklasifikasikan sebagai kes orang hilang walaupun keluarga mangsa meminta kes itu diklasifikasikan sebagai kes culik. – 10 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen