JET pejuang Turki telah meneutralkan enam lagi pengganas PKK di utara Iraq, lapor agensi berita Anadolu memetik kenyataan Kementerian Pertahanan Nasional pada Sabtu.
Serangan udara dilancarkan di wilayah Haftanin dan Gara yang diselaras dengan Operasi Claw Turki yang sedang berlangsung, kata kementerian itu di Twitter.
Pihak berkuasa Turki sering menggunakan terma “meneutralkan” dalam kenyataannya bagi menunjukkan bahawa pengganas terbabit sama ada menyerah diri, maut atau ditawan.
Pada 27 Mei, Turki telah melancarkan Operasi Claw terhadap PKK di wilayah Hakurk di utara Iraq. Sejumlah 80 pengganas telah berjaya dineutralkan setakat ini sejak operasi antikeganasan itu dilancarkan setakat ini.
Pada 13 Julai, Turki melancarkan Operasi Claw-2 sebagai menyusuli kejayaan Claw-1, yang mendedahkan maklumat baharu berkaitan aktiviti pengganas, menurut kementerian itu.
Pengganas PKK sering menggunakan kawasan di utara Iraq sebagai pangkalan untuk melakukan serangan rentas sempadan ke atas Turki.
Menerusi kempen keganasan lebih 30 tahunnya terhadap Turki, PKK yang disenarai sebagai pertubuhan pengganas oleh Turki, Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah telah bertanggungjawab atas kira-kira 40,000 kematian yang turut membabitkan wanita, kanak-kanak dan bayi. – Bernama, 10 Ogos, 2019.
Komen