Taufan Lekima ragut 13 nyawa di timur China


Ribut raksasa itu menyebabkan tanah runtuh pada awal pagi di bandar Wenling dengan kelajuan angin 187 kilometer sejam. – Gambar AFP, 10 Ogos, 2019.

SEKURANG-kurangnya 13 orang terbunuh dan 16 lagi dilaporkan masih hilang dalam kejadian tanah runtuh selepas dilanda Taufan Lekima di kawasan timur China, lapor televisyen kebangsaan republik itu hari ini.

Tragedi itu berlaku di kawasan perbandaran Wenzhou, yang terletak di laluan taufan yang bergerak sehingga menyebabkan kejadian tanah runtuh semalam, kata CCTV.

“Hujan lebat menyebabkan tanah runtuh di atas gunung menyebabkan sungai tersekat di kawasan bawah,” katanya.

‘Empangan’ yang terbentuk menyebabkan sebuah takungan di hilir sungai dan kemudian pecah.

Lebih dari sejuta orang sempat dipindahkan dari rumah mereka sebelum taufan melanda kawasan itu. Taufan itu membawa hujan lebat dan angin kencang mengakibatkan sumber elektrik terputus di samping menumbangkan ribuan pokok.

Ribut raksasa itu kemudian menyebabkan tanah runtuh pada awal pagi di bandar Wenling dengan kelajuan angin 187 kilometer sejam. Ia dijangka akan menjejaskan kawasan pantai timur menghala Shanghai, kata agensi berita Xinhua.

Hujan lebat turut dijangka berlaku di kawasan Shanghai serta wilayah timur Anhui, Fujian, Jiangsu dan Zhejiang. Pihak berkuasa turut memberi amaran kemungkinan banjir kilat, tanah runtuh berlaku akibat hujan lebat. – AFP, 10 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen