LETUPAN di sebuah balai polis Copenhagen dilaporkan berlaku pada awal pagi Sabtu menyebabkan kerosakan bangunan namun tiada kecederaan dilaporkan.
Kejadian letupan itu berlaku hanya beberapa hari selepas ledakan serupa di bangunan agensi cukai negara itu.
Gambar-gambar di lokasi kejadian menunjukkan pintu kaca balai polis itu pecah dan kesan letupan berselerak di kawasan bangunan.
Polis mengatakan punca letupan itu masih tidak dikenal pasti.
Kejadian dilaporkan berlaku pada pukul 3.18 pagi waktu tempatan di kejiranan Norrebro di daerah Osterbro di mana letupan serupa berlaku pada Selasa lalu yang menyebabkan kerosakan teruk pada bangunan ibu pejabat agensi cukai.
“Masih terlalu awal untuk mengatakan terdapat sebarang hubung kait (dengan letupan di agensi cukai) tetapi ia adalah sesuatu yang kita sedang siasat,” kata Timbalan Ketua Polis Copenhagen, Rasmus Agerskov Schultz kepada agensi berita Ritzau.
Polis menulis di aplikasi Twitter bahawa mereka sedang mencari lelaki yang kelihatan melarikan diri dari letupan di balai polis tersebut. lelaki itu memakai pakaian gelap dan kasut putih, dan meminta saksi kejadian untuk tampil bagi diambil keterangan.
Pada hari Rabu, polis menyifatkan letupan agensi cukai itu sebagai perbuatan sengaja tetapi masih belum memberikan apa-apa maklumat lanjut berhubung siasatan mereka.
Morten Ostergaard, ahli Parti Liberal Sosial dan bekas menteri urusan ekonomi dan dalaman, menulis di Twitter bahawa “serangan terhadap polis adalah serangan terhadap kita semua.”
“Di Denmark tidak sepatutnya orang ramai takut ke tempat kerja kerana risau diletupkan. Baik di agensi cukai, balai polis, atau di mana saja.” – AFP, 10 Ogos, 2019.
Komen