SEKURANG-KURANGNYA 22 orang maut dalam tragedi tanah runtuh disebabkan musim tengkujuh di sebuah kampung timur Myanmar, pekerja menyelamat masih berusaha mencari mangsa terselamat hari ini kerana ada penduduk yang masih hilang.
Tanah runtuh itu berlaku apabila tanah berlumpur sebuah bukit menimpa kampung Thae Pyar Kone di negeri Mon pada Jumaat, menenggelamkan 16 buah rumah dan sebuah biara.
Pasukan mencari dan menyelamat bekerja siang malam untuk mencari mangsa terselamat dan mengeluarkan mayat yang terbunuh daripada lumpur tebal.
“Setakat ini kami sudah menemui 22 mayat dan 47 lagi orang cedera,” kata pegawai tempatan Myo Min Tun.
Pegawai percaya hampir 100 orang lagi hilang.
Gambar menunjukkan bumbung rumah ditenggalami tanah dan lumpur.
Htay Htay Win, 32, memberitahu AFP yang dua anak perempuannya dan lima orang saudaranya masih belum ditemui.
“Saya dengar bunyi kuat dan berpaling melihatkan rumah saya ditimpa tanah,” katanya menangis.
Pekerja menyelamat menghabiskan pagi hari ini memindahkan mayat berbungkus plastik ke belakang sebuah trak ketika penduduk kampung memerhati.
Krew kecemasan juga terpaksa membersihkan lebuh raya utama dari Yangon ke Mawlamyine, yang ditimbuni lumpur sedalam 1.8 meter.
Hujan lebat menyebabkan arus sungai melimpah ke darat di negara itu, manakala perkampungan pesisir pantai diberikan amaran risiko ombak besar.
Di bandar Shwegyin di timur Bago pula, penduduk terpaksa mengharungi banjir paras pinggang sementara menunggu pasukan penyelamat sampai selepas arus Sungai Sittaung melimpah keluar, membanjiri perkampungan mereka.
Hampir 89,000 orang dipindahkan kerana banjir sejak beberapa minggu lalu, walaupun ramai sudah dibenarkan pulang, menurut Pejabat PBB untuk Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan.
Vietnam juga berdepan banjir besar minggu ini dengan sekurang-kurangnya lapan orang maut di tengah negara itu dan penyelamat menggunakan pengangkut untuk membawa keluar berpuluh lagi ke kawasan selamat. – AFP, 10 Ogos, 2019.
Komen