PENYOKONG pembangkang Rusia merancang mengadakan protes mega di Moscow hari ini selepas polis menahan ribuan pembantah di protes terbaru yang merupakan bantahan terbesar di negara itu sejak Presiden Vladimir Putin kembali ke Kremlin pada 2012.
Sejak beberapa minggu lepas, ribuan rakyat hadir ke protes jalanan untuk mendesak pilihan raya bebas dan adil selepas sekatan dikenakan ke atas beberapa tokoh utama pembangkang, termasuklah sekatan bertanding ke atas pengkritik utama Putin, Alexei Navalny dalam pilihan raya tempatan di Moscow bulan depan.
Polis anti rusuhan dan pengawal nasional menggunakan lebih banyak teknik ganas untuk menahan lebih 2,000 orang pada dua protes lepas, yang tidak mendapat kebenaran pegawai bandar.
Kebanyakan calon pembangkang diharamkan bertanding dengan menggunakan teknik penjara kerana melanggar undang-undang protes.
Berpuluh pembantah termasuklah pelajar universiti berdepan pertuduhan jenayah kerana “menganggu ketenteraman awam” yang memperuntukkan hukuman penjara, walaupun pembantah menegaskan bantahan dibuat adalah aman.
Himpunan hari ini mendapat kebenaran pihak berkuasa yang bermaksud mereka tidak boleh ditahan kerana hadir membantah di lokasi ditetapkan, tetapi Navalny, yang kini dipenjara menggesa penyokongnya untuk berjalan di seluruh Moscow selepas itu.
Polis Moscow dan Jawatankuasa Siasatan yang berkuasa besar sudah mengeluarkan amaran penglibatan dalam protes tidak dibenarkan akan “dihentikan serta merta”.
Untuk meraih sokongan golongan muda Rusia, pemuzik terkenal dijangka akan mengadakan persembahan dan selebriti juga mengumumkan mereka akan hadir di bantahan itu.
Salah seorang penyanyi rap terkemuka Rusia, Oxxxymiron menggesa peminatnya hadir bantahan, begitu juga bintang YouTube terkenal negara itu, Yury Dud.
“Jangan terima sebagai kebiasaan apabila orang tidak bersalah dihumban ke penjara atau dibelasah polis,” tulis Dud di Instagram kepada 2.3 juta pengikutnya.
Bantahan terbaru itu berlaku selepas pihak berkuasa minggu ini memperhebat serangan ke atas pasukan Navalny, memberi tumpuan kepada yayasan anti korupsi yang membongkar korupsi pegawai rapat dengan Putin.
Pada Khamis, penyiasat menyerbu pejabat yayasan dalam siasatan menerima derma daripada hasil pengubahan wang haram dan mahkamah mengarahkan akaun yayasan itu dibekukan.
Populariti Putin jatuh mendadak sejak tiga dekad berkuasa dan pengkritik merasakan pihak berkuasa bimbang bantahan itu boleh mencetuskan pembaharuan politik yang lebih besar.
Moscow menuduh AS menggalakkan rakyatnya hadir protes itu, selepas kedutaan mengeluarkan laluan protes terbaru berserta amaran supaya rakyatnya mengelak melaluinya. – AFP, 10 Ogos, 2019.
Komen