Taufan Lekima badai China, lebih sejuta orang dipindahkan


Taufan itu juga menyebabkan tanah runtuh awal pagi di bandar Wenling dengan kelajuan angin 187 kilometer sejam dan dijangka bergerak ke arah timur menuju ke Shanghai. – Gambar AFP, 10 Ogos, 2019.

TAUFAN besar Lekima melanda tenggara China hari ini, menyebabkan hujan lebat dan ribut kencang yang memutuskan bekalan tenaga, menumbangkan ribuan batang pokok dan menyebabkan lebih sejuta orang dipindahkan, lapor media tempatan.

Taufan itu juga menyebabkan tanah runtuh awal pagi di bandar Wenling dengan kelajuan angin 187 kilometer sejam dan dijangka bergerak ke arah timur menuju ke Shanghai, lapor agensi berita Xinhua.

Hujan lebat dijangka melanda Shanghai dan daerah timur lain seperti Anhui, Fujian, Jiangsu dan Zhejiang, dengan pihak berkuasa memberi amaran kemungkinan wujud banjir kilat, banjir lumpur dan tanah runtuh disebabkannya.

Di Zhejiang, hampir 300 penerbangan dibatalkan, dan khidmat feri dan kereta api juga dihentikan.

Lebih suku juta orang dipindahkan di Shanghai, perkhidmatan kereta api peluru yang menghubungkan lapangan terbang juga digantung.

Lebih 110,000 orang kini ditempatkan di pusat pemindahan.

China mengeluarkan amaran merah ribu pada Jumaat, sebelum menurunkannya kepada amaran jingga kerana kelajuan angin turun pada pagi hari ini.

Ribut itu sebelum ini membadai kawasan utara Taiwan pada Jumaat, menyebabkan sembilan orang cedera, beribu rumah lagi hilang bekalan kuasa dan lebih 500 penerbangan dibatalkan.

September lepas, Taufan Mangkhut membadai China menyebabkan lebih dua juta orang terpaksa dipindahkan, dan menyebabkan kerosakan teruk di Hong Kong dan Macau dan membunuh sekurang-kurangnya 59 orang di selatan Filipina. – AFP, 10 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen