SEBUAH rumah dicat warna merah jambu terang dan disertakan dua “emoji” gergasi adalah punca kemelut terbaru antara pemilik rumah di kawasan kejiranan mewah tepi pantai di Los Angeles.
Dalam usaha mengekalkan semangat “bandar kecil”, Manhattan Beach mengharamkan penyewaan jangka pendek kurang 30 hari beberapa tahun lalu.
Walaupun begitu, pemilik rumah 39th Street, tidak jauh dari pantai berkeras menyenaraikan rumahnya dalam laman web Airbnb.
Kathryn Kidd dilaporkan kepada pihak berkuasa tempatan oleh sekumpulan jirannya dan didenda AS$4,000 pada Mei lepas.
Seminggu kemudian, rumah itu dicat warna merah jambu terang dan dihiasi dua wajah emoji besar lengkap dengan bulu mata palsu.
Satunya dengan mulut berzip, sementara satu lagi menjelirkan lidahnya dan menjulingkan matanya.
Jiran percaya emoji itu direka untuk mengejek mereka.
Susan Wieland, salah seorang jiran yang melaporkan Kidd, memberitahu media tempatan yang beliau memakai bulu mata palsu ketika bercakap dengan Kidd.
Bagaimanapun, Kidd menegaskan yang ubah suai rumahnya hanya untuk menceriakan kawasan itu.
Beliau juga menafikan emoji itu dibuat untuk mengejek jirannya.
Jiran yang marah mendesak pihak berkuasa mengarahkan rumah itu dicat semula. Pihak berkuasa sedang mengkaji peraturan sedia ada untuk menentukan sama ada ia boleh mengeluarkan arahan itu.
Manhattan Beach terletak di kawasan selatan Los Angeles adalah salah sebuah kejiranan mewah termahal di AS. – AFP, 10 Ogos, 2019.
Komen