Keluarga Nora terima kasih pasukan penyelamat korban cuti raya


Alfian Z.M. Tahir

Lebih 100 anggota pelbagai agensi termasuklah polis, bomba dan Pasukan Gerakan Am (PGA) terlibat dalam misi mencari dan menyelamat Nora Quoirin di Nilai sejak seminggu lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Ogos, 2019.

IBU remaja warga British Nora Quoirin berterima kasih kepada semua anggota keselamatan yang terlibat dalam misi mencari dan menyelamat anak gadisnya yang hilang itu.

Meabh Quoirin bersama-sama suaminya, Sebastian, sangat menghargai usaha kerja menyelamat yang masuk hari ketujuh itu.

“Kami mahu berterima kasih kepada semua. Kami tahu anda mencari Nora siang dan malam. Kami lihat anda bekerja keras dan berdoa bersama-sama kami.

“Kami tahu anda meluangkan masa terutama di musim perayaan ini untuk bersama kami. Ia sangat bermakna kepada kami dan kami sangat menghargai apa yang telah anda lakukan untuk kami, dan semua yang berada di sini membantu kami. Kami harap kita dapat menemui Nora, terima kasih banyak-banyak,” kata Meabh di pintu masuk resort Dusun Pantai Hill di Nilai hari ini.

Ia adalah penampilan awam pertama pasangan itu sejak anak perempuan mereka hilang dari bilik tidur di resort tengah hutan itu Ahad lepas.

Meabh, Sebastian, Nora dan anak-anak mereka yang lain mula menginap di hotel itu pada Sabtu.

Sebastian menyedari Nora tiada di bilik tidurnya sekitar jam 7 pagi sebelum membuat laporan polis pada jam 11 pagi.

Polis berkata Quoirin meninggalkan kawasan vila diduduki keluarganya dengan hanya berpakaian tidur dan jejaknya masih belum dijumpai pasukan penyelamat.

Ratusan anggota keselamatan termasuklah pasukan komando elit VAT69 dan penjejak hutan, unit Senoi Praaq sudah dikerahkan membantu operasi.

Dron dilengkapi pengesan haba juga digunakan dalam misi itu.

Polis sudah menemui beberapa cap jari di tingkap bilik vila itu tetapi masih tidak mendedahkan hasil analisis.

Polis juga menggunakan rakaman suara ibu Nora untuk mengesan gadis itu dalam kawasan hutan Jeram Toi yang terletak berhampiran Gunung Berembun.

Keluarga mendesak kes itu diklasifikasikan sebagai kes culik, tetapi polis berkata tiada bukti untuk menyokong dakwaan itu.

Penduduk tempatan yang ditemui The Malaysian Insight sebelum ini turut berkata tidak mungkin remaja itu diculik.

Polis berulang kali berkata kemungkinan Nora masih berada dalam kawasan itu masih tinggi. – 10 Ogos, 2019.

 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen