REMAJA Texas berusia 21 tahun dari Allen yang menambak mati 22 orang di El Paso Walmart memberitahu polis bahawa dia menyasarkan “orang Mexico”, menurut waran tangkap yang disiarkan oleh media Amerika Syarikat (AS).
Dokumen yang mendakwa Patrick Crusius atas kesalahan membunuh itu turut menggambarkan situasi ketika remaja itu ditangkap.
Ketika melangkah keluar dari kenderaan dan dikelilingi oleh polis, Crusius berkata “saya yang menembak”.
Di balai polis, Crusius mengambil tindakan berdiam diri dan menunggu peguamnya hadir sebelum memberitahu polis bahawa “sasarannya adalah orang Mexico”, menurut dokumen itu yang diperoleh menerusi The Washington Post.
Sebelum melakukan serangan pada Sabtu lepas, Crusius memuat naik manifesto di atas talian mengenai ketakutannya terhadap “pencerobohan Hispanik” di Texas.
Seramai lapan warga Mexico terbunuh manakala mangsa yang lain berasal dari Amerika Hispanik.
Dalam manifesto berkenaan, Crusius mendakwa dia mempertahankan Amerika Syarikat dari penggantian budaya dan etnik yang dibawa masuk oleh penceroboh serta menjadikan insiden tembakan di Christchurch di New Zealand pada Mac lalu sebagai rujukan.
Crusius memerlukan kira-kira sembilan jam perjalanan untuk tiba ke El Paso dari Allen dan dia dilihat sengaja memilih bandar itu kerana penduduknya terdiri daripada golongan Hispanik.
El Paso terletak di Sungai Rio Grande yang menandakan sempadan AS dengan Mexico.
Kawasan itu mempunya 680,000 penduduk di mana 83 peratus adalah berketurunan Hispanik. – AFP, 10 Ogos, 2019.
Komen