HARI ini isu tulisan Jawi menjadi begitu hangat dan semakin lama semakin ia meninggalkan konteks perbincangan sebenar. Mereka yang kabur pemikirannya dan sentiasa dikelabui asap perkauman akan melihat hal ini dari sudut perkauman semata-mata.
Malah lebih buruk, isu tulisan Jawi ini dijadikan sasaran dan modal politik.
Tidak mengapa, kita biarkanlah mereka yang tidak mahu membuka mata, terus hidup dalam kegelapan. Mungkin mereka selesa untuk tidur dan melupakan kebenaran.
Satu hal yang menarik apabila polemik ini muncul ialah semangat kita semua untuk meneliti kembali sejarah panjang tulisan Jawi.
Kita boleh meneliti kembali bagaimana ia adalah sistem tulisan penting di Malaysia pada suatu ketika dahulu sebelum sistem rumi mengambil alih.
Jawi bukanlah tulisan yang berpaksikan Islam semata-mata. Ia melangkaui lebih daripada itu. Kita melihat bagaimana tulisan ini bukanlah menjadi tulisan yang menumpukan kepada aspek dakwah sahaja.
Kekeliruan timbul kerana Jawi mengambil huruf Arab sebagai teras tulisannya, dengan penambahan beberapa huruf bagi menyesuaikan dengan sebutan dan suasana interaksi masyarakat khasnya Melayu.
Kita melihat sendiri bagaimana pada sekitar tahun 1940-an dan 1950-an terdapat novel-novel erotik dalam bahasa Melayu yang menggunakan tulisan Jawi.
Akhbar-akhbar juga melaporkan berita menggunakan tulisan Jawi.
Malah kitab Injil di peringkat awal dahulu juga ada terdapat dalam tulisan Jawi.
Ini bukanlah kerja-kerja dakwah agama Islam, namun ia memperlihatkan bagaimana pada suatu ketika dahulu tulisan Jawi ialah tulisan untuk bahasa Melayu, bahasa yang menjadi bahasa kebangsaan kita pada hari ini.
Satu perkara baik yang mahu diteliti sekarang ialah bagaimana P Ramlee juga sensitif dan ada membawakan hal berkenaan Jawi ini dalam filem parodi yang dianggap antara yang terbaik pernah dibikin, Ali Baba Bujang Lapok.
Amat tertarik untuk kita melihat bagaimana P Ramlee mencuit hal berkaitan Jawi ini secara luar sedar dan ia menjadi tatapan yang amat menarik untuk dikenang dan direnung. Inilah fungsi sesebuah filem, ia memberikan ruang untuk merenung keadaan.
Dalam filem Ali Baba Bujang Lapok, terdapat watak lelaki Cina yang dikenali sebagai Apek. Lelaki ini membantu menjahit mayat Kasim Baba dan ketika berbual dengan Sarjan kelihatan cukup gembira dan berbangga mendapat kerakyatan di Kota Baghdad.
Apabila ditanya dia menjawab sudah 80 tahun tinggal di negeri itu namun umurnya baru 50 tahun. Tetapi, menurut Apek bapanya telah tinggal di sini sudah 30 tahun; jadi, menunjukkan dia merasakan dirinya ialah sebahagian daripada negeri.
Dia juga menganggap dirinya memiliki hak yang sama dengan warga tempatan lain di negeri ketika meleraikan pergeseran antara pelanggan (warga tempatan) di hadapan kedai kasut miliknya.
“Tak usah gaduh. Gua pun local citizenship.”
Sebelum dan selepas mencapai kemerdekaan, isu kerakyatan jus soli menjadi isu penting dan P Ramlee menonjolkan isu berkenaan dalam filem ini dengan cukup cemerlang.
Beliau meletakkan bagaimana seorang Cina yang telah lama menetap kelihatan menyesuaikan diri dengan masyarakat setempat sehingga dapat membuka perniagaan sendiri.
Selain itu, kita sendiri dapat melihat bagaimana peniaga dan tukang kasut ini menggunakan tulisan Jawi pada papan tanda perniagaannya. Malah kehidupannya juga dikelilingi dengan tulisan berkenaan.
Angka pada pintu kedainya juga menggunakan angka daripada tulisan Arab yang menjadi asas penting kepada pembentukan tulisan Jawi.
Lebih menarik, di sebalik tulisan Jawi yang ada di Kota Baghdad dalam filem berkenaan, terdapat juga beberapa kaligrafi Cina yang kelihatan di sekitar kedai peniaga Cina itu.
Ini memberi makna penting kepada kita semua bahawa tulisan Jawi tidak pun menjadi halangan buat peniaga Cina ini. Malah dia berbangga hidup di negeri berkenaan. Dia merasakan dirinya adalah sebahagian daripada masyarakat.
Identiti dan kebudayannya tidak lenyap langsung walaupun papan tanda perniagaannya sendiri menggunakan tulisan Jawi.
Beberapa babak dalam Ali Baba Bujang Lapok memberi pengertian tentang menikmati kehidupan secara bersama dan meraikan setiap perbezaan itu dengan penuh keseronokan.
Ia membuatkan kita rasa lebih menghargai dan mencintai tanah air dan kawan-kawan berbeza agama, budaya dan latar belakang.
Belajarlah sesuatu daripada filem ini dan bukan semata-mata ketawa kemudian menutup TV.
Di samping Ali Baba Bujang Lapok, P Ramlee juga mengungkap hal berkaitan pendidikan dan sistem tulisan dalam Pendekar Bujang Lapok.
Kita melihat ini dalam babak Sekolah Umum Buta Huruf di mana terkumpulnya lelaki-lelaki yang tidak tahu membaca walaupun sudah berusia.
Mereka semuanya gagal mengenal huruf, gagal mengenal perkataan. Ini menjadi punca mereka menjadi tidak tahu dan seperti duduk terpuruk dalam tempurung yang gelap.
Mereka saling ketawa terhadap kesilapan dan kelemahan masing-masing. Ini semua terjadi kerana mereka mempertahankan kelemahan, tidak mahu belajar untuk menerima perbezaan dan saling bergandingan dalam mengatasi kelemahan.
Sepanjang masa dalam filem ini kita didedahkan dengan sikap Bujang Lapok yang memiliki ego, tidak mahu bertanya dan menganggap apa yang salah sebagai sesuatu yang benar.
Perbalahan dalam gelap tidak menimbulkan apa-apa kepentingan dan mereka terus berguling dalam kejahilan. Seperti apa yang mereka geserkan soal ini sekolah atau sarkas dan bagaimana kemudiannya datang ejaan Alif, Mim, Nun, Wau menjadi sarkas.
Semuanya kerana kegagalan untuk memahami, menahan ego dan mempertahankan kedegilan. Selagi kita tidak mengenali sesuatu, maka tiadalah kita jatuh cinta kepadanya. – 10 Ogos, 2019.
* Daniyal Kadir ialah penulis buku Membedah P.Ramlee, Ahli Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur dan Anggota Sidang Komuniti Filem Titiwangsa.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen