SEKURANG-KURANGNYA 37 orang terbunuh dalam pertempuran minggu ini, yang berlaku antara kumpulan etnik yang bertelagah di Chad, kata Presiden Idriss Deby pada Jumaat.
“Konflik antara etnik menjadi kebimbangan negara,” kata Deby pada sidang akhbar sempena sambutan hari kemerdekaan negara.
“Kita menyaksikan fenomena yang dahsyat.”
Beliau berkata dalam masa tiga hari, 37 orang terbunuh di wilayah timur Ouaddie, sebuah kawasan strategik di sempadan Sudan.
Chad Timur berada dilanda keganasan antara pengembala unta nomad, kebanyakan daripada kumpulan etnik Zaghawa dengan petani yang tinggal secara menetap dari masyarakat Ouaddian.
Bulan lalu Deby, yang berkuasa selama hampir tiga dekad, membayangkan mahkamah tentera mungkin diperkenalkan semula dalam usaha membendung pergolakan, cadangan yang dikecam oleh pembangkang di negara itu. – AFP, 9 Ogos, 2019.
Komen