PIHAK pendakwaan menarik balik permohonan memaksa Najib Razak memohon maaf atas komennya di Facebook bulan lepas berkenaan perbelanjaan kad kredit sebanyak RM3.3 juta pada 2014.
Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff memaklumkan perkara itu kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas perbicaraan kes SRC International hari ini.
Bagaimanapun tiada alasan diberikan.
Ketua pasukan pembelaan Muhammad Shafee Abdullah berkata mereka juga akan menarik balik permohonan untuk mencabar tuntutan tersebut.
“Walaupun terdapat perintah larangan (gag order), tertuduh dinasihat supaya tidak membuat sebarang komen di media sosial tanpa mendapatkan nasihat peguam terlebih dahulu, jika tidak kamu mungkin melanggar undang-undang,” kata Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.
“Posting atau komen mengenai keterangan mahkamah bersempadanan dengan menghina mahkamah.”
Bulan lalu Najib menulis komen mengenai keterangan seorang pegawai AmBank bahawa kad kredit di atas nama bekas perdana menteri itu digunakan untuk perbelanjaan bernilai €750,000 (RM3.3 juta) di sebuah kedai barangan kemas milik Switzerland di Itali, De Grisogono.
Najib berkata ia bagi pembelian hadiah untuk kerabat diraja yang tidak dinamakan.
“Perlu juga ditegaskan bahawa ini bukan kad kredit SRC tetapi kad kredit atas nama saya.
“Perbelanjaan ini untuk hadiah kepada ahli kerabat Raja kanan sebuah kerajaan serta rombongan mereka yang mempunyai hubungan baik dengan negara kita. (Bukan Arab Saudi atau Abu Dhabi).
“Mereka sekeluarga serta rombongannya telah bersama kita dalam kunjungan kita sekeluarga ke Italy masa itu,” tulis beliau di Facebook. – 9 Ogos, 2019.
Komen