JIKA beliau masih hidup hari ini, Karpal Singh akan lebih bersemangat dan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan membawa Malaysia keluar daripada “tempoh penuh mencabar” ini.
Begitu juga kata Ramkarpal Singh, anaknya yang memenangi kerusi Bukit Gelugor selepas pemimpin DAP yang hari ini genap tiga tahun meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya.
Beliau berkata Karpal akan lebih terinspirasi untuk bertanding, terutama pada tempoh penuh mencabar di Malaysia sekarang.
“Beliau akan berasa lebih bersemangat. Faktor umur dan berkerusi roda, tidak akan menghalangnya.
“Kes hasutan beliau masih belum selesai, tetapi lebih daripada itu, bapa saya akan mendapat inspirasi untuk bertanding lagi,” kata Ramkarpal, merujuk kepada tuduhan menghasut terhadap Karpal berhubung krisis Perlembagaan Perak pada 2009.
Karpal akan berusia 77 Jun tahun ini jika masih hidup. Beliau meninggal dunia dalam kemalangan di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Gua Tempurung di Perak ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang pada 17 April 2014.
Upacara doa dan program kebajikan diadakan pada hujung minggu di Pulau Pinang sempena memperingati pemergian beliau.
Menyentuh tentang keadaan semasa pembangkang, Ramkarpal berkata, bapanya akan menjadi sangat kecewa dengan kurangnya perpaduan dalam Pakatan Harapan (PH).
Karpal sangat mementingkan perpaduan dan menjadi keutamaannya untuk menangani isu itu, katanya.
“Saya fikir beliau akan memarahi semua orang,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Walaupun sudah tiga tahun berlalu, beliau berkata pengundi Karpal masih merindukannya.
“Apabila saya melawat rakyat, mereka bercakap mengenai beliau. Ia kekal menjadi sebutan di Pulau Pinang,” katanya.
Ramkarpal sendiri amat merindui mendiang bapanya apabila bakal berdepan pilihan raya umum pertamanya kali ini.
“Ia akan menjadi satu cabaran. Saya selalu sedar yang saya akan melakukan semua ini sendiri suatu hari nanti, tetapi ia suatu perbezaan yang besar jika beliau masih ada,” katanya.
Ramkarpal berkata Karpal tidak secara ekspresif memberinya galakan tentang memasuki arena politik.
Beliau tidak terlibat secara aktif dalam politik sebelum kematian bapanya dan hanya menyertai DAP pada 2014.
Beliau membuat ucapan politik pertama pada perhimpunan di Sekolah Tinggi Han Chiang ketika berkempen dengan Karpal pada Pilihan Raya Umum 2013.
“Saya belajar melihat bagaimana bapa saya membawa dirinya. Beliau sangat berprinsip, dan menunjukkan contoh melalui teladan. Saya rasa ia lebih berharga daripada kata-kata,” kata Ramkarpal.
Selepas mengambil alih kerusi bapanya pada pilihan raya kecil, beliau berkata berkhidmat kepada rakyat sebagai ahli Parlimen memberikan perspektif yang berbeza secara keseluruhannya.
“Apabila anda berada dalam keadaan itu, anda akan sedar berapa banyak diperlukan daripada anda tetapi ia memberi kepuasan diri dengan segala bantuan yang diberi dan mengetengahkan isu demi kebaikan negara ini.
“Ia tidak mudah bagi bapa saya, terutama jika berkerusi roda. Ia membuatkan saya lebih menghargai usaha beliau,” katanya.
Legasi bapanya, Ramkarpal berkata Karpal mencintai bidang perundangan dan komited ke arah menjadikannya lebih baik.
“Dalam politik, beliau berminat terhadap masyarakat yang adil dan saksama, bebas daripada profil kaum. Itu adalah keutamaan beliau, yang bermula sejak zaman universiti sebagai pemimpin pelajar di Singapura.
“Saya rasa kedua-dua profesionnya, guaman dan politik menyempurnakan perjuangan beliau,” katanya. – 17 April, 2017.
Komen