Keluarga Adib mahu peguam negara mohon maaf


Noel Achariam

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili keluarga Muhammad Adib Mohd berkata Peguam Negara Tommy Thomas perlu memohon maaf kerana menghina mahkamah dalam inkues berkenaan kematian anggota bomba itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Ogos, 2019.

KELUARGA anggota bomba Muhammad Adib Mohd menuntut permohonan maaf daripada Peguam Negara Tommy Thomas kerana menghina mahkamah, kata peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla.

Haniff yang mewakili keluarga Adib berkata mereka hanya mahukan permohonan maaf, dan bukannya mahu Thomas dipenjarakan atas kesalahan menghina mahkamah.

“Keluarga Adib tidak berhasrat untuk memohon peguam negara dihukum. Itu bukan niat mereka.

“Jika mahkamah mendapati beliau menghina mahkamah, apa yang keluarga ini mahukan hanya satu permohonan maaf,” katanya di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini.

Haniff berkata alasan untuk kes menghina mahkamah itu ialah Thomas ada membuat kenyataan berkenaan sebab mengapa peguam Syazlin Mansor silap menghadiri inkues itu.

Syazlin pada mulanya peguam untuk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan keluarga Adib sebelum tiba-tiba menarik diri pada Mei, berkata beliau diarahkan untuk berhenti, tanpa memberikan butiran lanjut.

Haniff berkata dalam kenyataan bertulis beliau (Thomas) berkata Syazlin mengendalikan inkues itu bercanggah dengan pendirian peguam negara.

“Kenyataan dibuatnya itu menghina mahkamah. Dalam inkues, tidak ada sesiapa berhak mengambil pendirian sehinggalah ia selesai.

“Kami akan mengenal pasti isu-isu lain (yang membawa kepada menghina mahkamah) dan membawanya nanti ke mahkamah,” katanya.

Bulan lalu, peguam Adib memfailkan permohonan secara ex parte bagi pihak keluarganya untuk menyebut Thomas sebagai menghina mahkamah. – 9 Ogos, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen