SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) gagal mendapatkan salinan asal minit mesyuarat lembaga pengarah SRC International ketika siasatan bermula pada pertengahan 2015.
Ini kerana bekas pengarah SRC International Terence Geh telah melarikan diri. Geh, 48, juga merupakan sekutu ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho.
Waran tangkap terhadap Geh, Low dan tiga lagi individu dikeluarkan pada Disember.
Pegawai penyiasat SPRM Rosli Hussain hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur agensi anti rasuah itu hanya berjaya memperolehi salinan minit mesyuarat bagi 2013 yang hilang dari buku setiausaha syarikat yang disita dari SRC International pada 6 Julai 2015.
“Ini kerana Geh melarikan diri dan dia tidak dapat dikesan. Jadi, saya tidak dapat salinan asal,” kata Rosli.
Bekas pengerusi SRC International Ismee Ismail ketika memberi keterangan sebelum ini berkata Geh bertindak sebagai setiausaha syarikat yang mencatat minit mesyuarat lembaga pengarah.
Rosli berkata SPRM mendapat salinan minit yang hilang itu selepas menyoal siasat Ismee pada 18 Julai 2018.
“Dia beritahu saya dia ade satu set (salinan) dalam keretanya. Dia kemudianya serahkan kepada set salinan minit mesyuarat lembaga pengarah SRC International bagi 2013.” – 9 Ogos, 2019.
Komen