Masyarakat Islam Kota Damansara bantah pesta arak, gesa polis ambil tindakan 


Bede Hong

Sebahagian masyarakat Islam di Kota Damansara memegang sepanduk menyatakan bantahan mereka terhadap pesta arak dalam bantahan yang diadakan di perkarangan Masjid Kota Damansara selepas solat Jumaat hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 6 Oktober, 2017.

JAWATANKUASA Masjid Kota Damansara menggesa pihak polis mengambil tindakan terhadap pihak berkuasa tempatan yang membenarkan pesta arak serta iklan dan promosi acara itu. 

Penjaga masjid terbabit Ustaz Sanusi Abdul Manaf yang mengetuai bantahan hari ini di perkarangan masjid selepas solat Jumaat meminta umat Islam membantah pesta yang tidak bermoral itu serta pusat perjudian dan urut di kawasan perbandaran berkenaan, yang terletak di Selangor. 

“Kami membantah semua bentuk pesta membabitkan minuman keras yang dirancang atau sudah dirancang untuk diadakan di Kota Damansara,” kata Sanusi. 

“Kami juga mencadangkan agar pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan terhadap pihak berkuasa tempatan yang membenarkan sebarang bentuk promosi berkaitan pesta arak, sama ada papan tanda, papan iklan, periklanan dan sebagainya.”

Gesaan itu dicatatkan dalam satu memorandum yang diserahkan oleh kira-kira 100 orang yang menyertai bantahan itu di Balai Polis Kota Damansara hari ini. 

Dalam memorandum itu, Sanusi berkata pesta arak juga sepatutnya dibantah oleh masyarakat bukan Islam.

“Ini kerana tingkah laku yang tidak baik itu sudah menjadi perkara untuk diraikan. Ianya tidak bertamadun dan tidak diterima masyarakat Malaysia,” katanya. 

Sanusi turut mengkritik parti pembangkang DAP yang didakwa tidak menghormati Islam. 

“Islam adalah agama Persekutuan. Sekiranya kamu mahu minum, minumlah di rumah. Minum untuk diri kamu,” katanya ketika berucap dan disahut oleh penyokong “Hidup Islam, hancur DAP.”

Beberapa peserta bantahan itu ketika ditanya sama ada mereka adalah ahli PAS bagaimanapun enggan mengulas. Jemputan untuk menghadiri bantahan itu dihantar menerusi saluran WhatsApp PAS.

Ketua Keselamatan Masjid Shaari Karim berkata terdapat peningkatan jumlah rumah urut dan pusat judi di kawasan terbabit.

“Ia adalah pembangunan. Ia makin tidak terkawal. Kami memantau perkara ini namun kami tidak dapat mengawal pertumbuhannya,” katanya.

Kerajaan negeri Selangor yang diketuai pembangkang persekutuan dan Menteri Besar Mohamed Azmin Ali dari PKR baru-baru ini berkata beliau membenarkan pesta arak di Selangor selagi penganjur sedia mematuhi peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan.

Isu pesta arak ini mula timbul selepas Better Beer Festival yang dijadualkan berlangsung di Publika bermula esok dihalang oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur berikutan “sensitiviti” yang tidak dinyatakan. 

Polis kemudiannya berkata keputusan untuk tidak membenarkan pesta itu diadakan kerana hasil risikan polis mendapati ia mengundang risiko serangan pengganas. – 6 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen