KETUA pertahanan Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS) dijangka bertemu di Seoul hari ini bagi membincangkan keselamatan serantau dan isu lain pakatan itu, lapor agensi berita Yonhap.
Rundingan antara Menteri Pertahanan Korea Selatan Jeong Kyeong Doo dan Setiausaha Pertahanan AS Mark Esper juga berlangsung ketika AS memberikan tekanan terhadap Korea Selatan untuk meningkatkan sumbangan kewangannya kepada kos penempatan pasukan tentera AS di Seoul.
Esper tiba di Korea Selatan pada Khamis untuk lawatan dua hari dalam pusingan akhir lawatan beliau ke lima negara di rantau Asia Pasifik, yang turut membawanya ke Australia, New Zealand, Jepun dan Mongolia.
Semasa perbincangan, kedua-dua pihak bercadang berkongsi penilaian mereka berkaitan situasi keselamatan di Semenanjung Korea dan membincangkan isu utama yang tertangguh termasuk cara merangsang kerjasama bagi pembasmian senjata nuklear Korea Utara dan pemindahan kawalan operasi semasa perang (OPCON) dari Washington ke Seoul, menurut kementerian pertahanan Korea Selatan. – Bernama, 9 Ogos, 2019.
Komen