Singapura rai hari lahir ke-54


Singapura rai Hari Kebangsaan ke-54 hari ini, seiring dengan memperingati 200 tahun Sir Stamford Raffles menjejakkan kaki di bumi republik itu. – Gambar fail AFP, 9 Ogos, 2019.

SINGAPURA merayakan Hari Kebangsaan ke-54 hari ini dan perayaan tahun ini agak istimewa kerana ia juga seiring dengan memperingati 200 tahun Sir Stamford Raffles menjejakkan kaki di bumi Singapura.

Menurut Pejabat “Singapore Bicentennial’ – sebahagian daripada Pejabat Perdana Menteri, ulang tahun ke 200 ketibaan British di Singapura merupakan satu titik perubahan utama dalam sejarah republik itu.

“Tetapi kisah kami tidak bermula pada 1819, ia bermula 700 tahun yang lampau.” kata pejabat itu dua hari sebelum pelancaran Singapore Bicentennial.

Singapore Bicentennial kemudian dilancarkan pada 28 Januari, 2019 oleh Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong di Muzium Tamadun Asia.

“Singapore Bicentennial merupakan kesempatan bagi kita untuk merenung sejarah ini sebelum dan selepas 1819; untuk memahami perjalanan kita dari tempat yang mempunyai lokasi strategik dari segi geografi, kepada orang yang mempunyai DNA Singapura yang unik.

“Peringatan ini bertujuan menampilkan penyumbang besar yang membawa kepada evolusi kita, melihat perkembangan serantau dan global yang mempengaruhi tempat kita di dunia, dan banyak lagi,” kata pejabat itu.

Berikutan pelancaran itu, pelbagai acara dirancang pada 2019 untuk mencetuskan minat di kalangan warga Singapura terhadap sejarah negara.

Menerusi acara-acara ini pejabat itu menerokai sejarah purba Singapura untuk memberikan konteks kepada 200 tahun dari 1819; dan meneliti impak dan pengaruh orang lain dari seluruh rantau dan dunia terhadap Singapura.

Ia juga menyerlahkan sumbangan pelaku dan komuniti secara meluas yang membawa kepada evolusi; dan banyak lagi.

Sebelum pelancaran Singapore Bicentennial, pada 4 Januari empat patung baharu Sang Nila Utama, Tan Tock Seng, Munshi Abdullah dan Naraina Pillai berdiri megah bersebelahan patung Sir Stamford Raffles di Laman Pendaratan Raffles di sepanjang Sungai Singapura.

Ditauliahkan oleh pejabat itu, ukiran patung itu secara meluas mewakili watak-watak yang tiba di pantai Singapura pada 1819, dan sebelumnya.

“Walaupun Singapore Bicentennial menandakan kedatangan Sir Stamford Raffles pada 1819 sebagai titik penting dalam sejarah kita, ia juga mengiktiraf pelbagai masyarakat dan orang yang telah membentuk Singapura sejak bertahun-tahun,” kata pejabat itu.

Antara lain, orang ramai akan mengenali Sang Nila Utama, putera Palembang yang pertama kali melihat kelibat seekor singa dan mendirikan kerajaan Singapura pada 1299.

“Beliau memberikan pautan kepada sejarah kita yang lebih lama sebelum 1819, yang kita berharap dapat diterokai sepanjang 200 tahun berkenaan,” kata pejabat itu.

Sementara itu, semasa permukiman para pemimpin Malaysia-Singapura di Putrajaya pada April lepas, Lee menjemput rakan sejawatannya dari Malaysia, Dr Mahathir Mohamad untuk menghadiri perarakan Hari Kebangsaan tahun ini dan Dr Mahathir menerima jemputan itu.

Dr Mahathir yang pernah berada di Singapura pada November lalu untuk Sidang Kemuncak Asean dijangka tiba bersama isterinya Dr Siti Hasmah Mohamad Ali petang ini untuk menyaksikan perarakan itu di Padang.

Ketika mengumumkan pemilihan Padang sebagai lokasi perarakan tahun ini, Menteri Pertahanan Ng Eng Hen berkata lapangan rekreasi berhampiran Dewan Bandaraya itu dipilih kerana tapak itu “menjadi saksi kepada banyak peristiwa utama dalam sejarah Singapura”.

Padang adalah tempat perarakan Hari Kebangsaan pasca kemerdekaan pertama diadakan pada 1966. Ia juga menyaksikan pengisytiharan kerajaan sendiri pada 1959 dan kesatuan dengan Malaysia pada 1963.

Perarakan Hari Kebangsaan tahun lepas diadakan di platform terapung Marina Bay.

Dalam pada itu, bank pusat republik itu, Pihak Berkuasa Monetari Singapura terpaksa  mengeluarkan tambahan dua juta peringatan S$20 bagi memenuhi permintaan yang tinggi daripada orang ramai, hanya sembilan hari selepas dilancarkan oleh Presiden Singapura Halimah Yacob pada 5 Jun.

Selamat Hari Lahir ke-54 Singapura! – Bernama, 9 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen